Halaman

13 April 2011

Terengganu sasar 100 peratus keluaran padi

Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Haji Ahmad bersama petani menunggal (menanam) jagung di Langkap, Setiu. - Foto Syed Abdul Rahman.

Terengganu dijangka tidak lagi mengimport beras dari luar negara termasuk Thailand berikutan negeri ini mampu mengeluarkan hasil padi 100 peratus bagi kegunaan penduduk tempatan dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keperluan penduduk negeri ini mencukupi apabila Projek Kelompok Padi Sri Cempaka (PKPSC) di Jelapang Padi, Setiu, beberapa tempat di Besut dan disusuli dengan Marang mengeluarkan hasil.

“Pihak kami menjangkakan mampu mengeluarkan hasil tanaman padi sebanyak 85 peratus di Setiu dan Besut manakala selebihnya iaitu 15 peratus lagi di Marang.

“Projek dan konsep sama iaitu setiap peserta mengusahakan empat hektar (10 ekar) sawah turut dilaksanakan di beberapa kawasan bersesuaian di Marang dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Menunggal (menanam) Jagung di Langkap, Setiu, petang semalam (12 Mac).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Haji Ramlan Ali dan Adun Permaisuri, YB Haji Halim Jusoh.

Tetamu kehormat lain, Pengarah Pertanian, Haji Md Yusof Maidin; Pegawai Daerah Setiu, Encik Mohamad Nor Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamudin Hashim.

Lebih 300 penduduk setempat termasuk peserta projek menanam jagung hadir memeriahkan majlis perasmian di mana secara simboliknya Dato’ Seri Haji Ahmad menaiki jentera pembajak tanah.



Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu kerja-kerja mereka bentuk, membina dan merancang pengairan Jelapang Padi di Setiu iaitu membabitkan kawasan seluas 173.2 hektar hampir 70 peratus siap.

“Apabila siap kelak, seramai 119 peserta terpilih akan mula menabur benih padi sebelum dapat menuai empat bulan kemudian,” katanya.

Lebih RM46 juta disediakan bagi menyiapkan PKPSC yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk empangan konkrit utama, tali air, struktur pelaras air, pam air, parit tadahan, pembetung saliran bawahan, rumah pam saliran, pintu kawalan dan sebagainya.