Halaman

05 April 2011

TED elak kepupusan penyu

Oleh: Aida Abd Rahman


ELAK PUPUS.....YB Datuk Haji Za'abar ketika melepaskan penyu kembali ke laut.

Jabatan Perikanan bercadang menggalakkan nelayan di negeri ini menggunakan Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat tunda udang sebagai satu usaha mengelak kepupusan penyu.

Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan, Encik Gulamsarwar Jan Mohammad berkata, langkah itu penting kerana penggunaan pukat jenis tersebut dikenal pasti sebagai punca utama penyu terperangkap dan mati.

Menurutnya, masalah serupa turut berlaku secara meluas di negara-negara lain sehingga menyebabkan reptilia tersebut mengalami ancaman kepupusan.

Encik Gulamsarwar berkata, peraturan seumpama itu telah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) supaya negara-negara pengeksport hasil tangkapan laut menggunakan TED pada pukat tunda mereka.

“Tanpa TED hasil tangkapan udang adalah dilarang untuk dieksport ke AS dan peraturan ini adalah merujuk kepada US Shrimp Import Embargo yang berkuatkuasa pada 1996,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penyu dan TED sebagai mewakili Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Yayasan Penyelidikan Marin (MRF) Sabah, Dr. Nicolas J. Pilcher dan Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Encik Nazuki Sulong.

Encik Gulamsarwar berkata, pihaknya sedang memperhebatkan usaha untuk memberi kesedaran kepada golongan nelayan mengenai kepentingan peralatan tersebut dalam usaha menyelamatkan penyu daripada pupus.



Alat itu mula digunakan di Sabah dan setakat ini lebih 100 TED berharga kira-kira RM400 seunit telah dipasang pada pukat tunda dan ia akan diperluaskan ke Semenanjung pula kelak.

Malah, dari tahun 2000 hingga 2010, sebanyak tiga juta biji telur penyu telah dieramkan manakala 1.9 juta ekor penyu berjaya ditetaskan sebelum dilepaskan semula ke laut.

Katanya, anak-anak penyu ini adalah hasil 34,000 kali pendaratan ibu penyu di negara ini dengan 90 peratus daripadanya mendarat di pantai Terengganu.