Halaman

27 April 2011

Rakyat Terengganu tunjuk komitmen tinggi – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Buku 3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu dilancarkan Menteri Besar di Wisma Darul Iman hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, memuji sikap rakyat Terengganu yang menunjukkan komitmen yang amat tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

“Apa yang lebih mengujakan kita semua ialah kebolehan anak Terengganu untuk bersaing bukan saja di peringkat nasional, tetapi di persada antarabangsa,” katanya dalam kata-kata aluan buku ‘3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu” yang dilancarkan hari ini.

Buku tersebut memuatkan pelbagai program dan acara yang dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang tiga tahun Dato’ Seri Haji Ahmad menerajui pemerintahan Negeri Terengganu Darul Iman.

Menteri Besar berkata, kejayaan-kejayaan yang dicipta rakyat Terengganu membuktikan mereka sudah keluar daripada kepompong ‘inferiority complex’ yang membendung segala usaha kerajaan untuk mengubah minda ke arah kecemerlangan.

“Rakyat sudah dapat melihat setiap cabaran dalam skop yang positif untuk membuahkan hasil yang baik bagi kerajaan dan rakyat secara amnya,” ujar beliau.

Beliau berkata, kayu pengukur kewibawaan penjawat awam semakin panjang kerana keperluan rakyat tempatan sentiasa berubah-rubah serta bertambah canggih.

“Jentera kerajaan, yakni pentadbiran, memerlukan penjawat awam yang sentiasa dinamik, inovatif dan kreatif, serta berani membuat perubahan yang membantu rakyat.

“Gerakan pentadbiran harus berpaksikan kepentingan rakyat. Jika kita tidak berkhidmat untuk rakyat yang mengharapkan bantuan kita, bermakna kehadiran kita dalam jentera ini hanya sekadar untuk makan gaji,” tambah beliau.

Menteri Besar berkata, prestasi penjawat awam dinilai setiap tahun oleh pegawai atasan, tetapi penilai muktamad terhadap kemampuan jentera pentadbiran kerajaan ialah rakyat.

“Rungutan rakyat yang berlarutan bermakna kecekapan pegawai boleh dipertikaikan. Walaupun ada peningkatan prestasi penjawat awam, termasuk kecemerlangan di peringkat jabatan, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini kerana kehendak pembangunan serta akta sentiasa berubah,” katanya.