Halaman

24 April 2011

Persekitaran bersih pikat pelancong

Oleh: Esah Abdullah


Terengganu memiliki pantai yang cantik dan terus mengekalkan Negeri Cantik Budaya Menarik. - Foto: Zul Putra.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta masyarakat di negeri ini lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan persekitaran jika mahu mengekalkan identiti negeri cantik budaya menarik.

“Kebersihan perlu dititik-beratkan walau di mana kita berada lebih-lebih lagi di kawasan bandar, taman rekreasi dan juga tandas awam,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) di Dataran Marang, Marang, Terengganu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.

Menteri Besar berkata, setelah 15 tahun berlalu tiba giliran Serikandi menjadi tuan rumah bagi program tahunan kejohanan sukan badminton dan boling isteri wakil-wakil rakyat seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Serawak.

“Sebagai tuan rumah semestinya Serikandi mahu menjadi ‘host’ terbaik supaya tetamu yang datang dan pulang akan membawa seribu kenangan yang manis,” katanya.

Selain mengikuti program yang diatur, para isteri juga akan turut membuat lawatan ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di negeri ini dan boleh menilai pembangunan yang sedang rancak di sekitar bandaraya ini.

“Kita ada pantai yang tercantik, santuari kelah dan taman burung di Tasik Kenyir, monumen sejarah dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, industri songket serta pusat industri keropok lekor di Losong,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya menyarankan agar diperbanyakkan maklumat tempat-tempat menarik seperti billboard, pamphlet dan poster serta perlu sediakan pemandu pelancong yang pandai berinteraksi dan luas pengetahuan mengenai sejarah negeri.