Halaman

22 April 2011

Penjawat awam perlu berintergriti dalam kerjaya – SUK

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Penjawat awam diingatkan supaya berpegang kepada prisip profesional dan berintergriti dalam kerjaya masing-masing, sesuai dengan tuntutan masyarakat yang mahukan mereka menunjukkan nilai-nilai terbaik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan masing-masing, ideologi dan cara pendekatan setiap penjawat awam mungkin berbeza antara satu sama lain.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat sentiasa menuntut agar penjawat awam menunjukkan nilai-nilai yang terbaik dan mengamalkan integriti paling tinggi.

“ Tiada tempat dalam perkhidmatan awam atau pun agensi lain bagi mereka yang tidak berintegriti. Jangan mengambil jalan mudah untuk mengumpul kekayaan dengan menggunakan kaedah yang tidak sepatutnya,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar dengan pegawai tadbir negeri dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, baru-baru ini.

Dato’ Haji Mazlan berkata, integriti bukan bermaksud penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa semata-mata, tetapi ia membawa pengertian yang sangat komprehensif dan meluas.

“Integriti dalam pengurusan masa, integriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam membuat keputusan, integriti dalam komunikasi dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan pelanggan,” tambah beliau.

Beliau juga berkata, masa depan negara memerlukan komitmen daripada ketua-ketua jabatan untuk melakukan “Transformasi Minda”.

“Transformasi ini menuntut kita supaya beralih dari paradigma lama, bagi membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan penciptaan serta pemerkasaan intelektual dan profesionalisme,” katanya.