Halaman

21 April 2011

PBT, JKKK perlu tingkat kebersihan kampung -SUK

Oleh: Aida Abd Rahman



Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diarah supaya menambah kualiti kerja bagi meningkatkan kebersihan dan keceriaan di setiap lokasi kampung dalam bandar serta kawasan dalam pentadbiran PBT.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, mengeluarkan arahan itu apabila mendapati kampung di luar kawasan operasi PBT jauh lebih bersih dan ceria berbanding kampung yang berada di kawasan operasi PBT.
Kampung Dalam Kawasan Operasi dan Kampung Luar Kawasan Operasi adalah dua kategori utama yang baru diperkenalkan bagi Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat Negeri Terengganu Tahun 2010.

“Nampaknya luar kawasan operasi PBT atau Majlis Daerah lebih bersih jika dibanding dengan kampung dalam kawasan operasi. Jadi kita minta jawatankuasa kerja dalam operasi PBT meningkatkan kualiti dan memastikan kawasan mereka benar-benar bersih pada tahun ini dan tahun akan datang.

“JKKK juga perlu menggandakan penglibatan mereka dalam usaha memastikan masyarakat dapat memajukan ekonomi mereka, sekaligus bebas dari belenggu kemiskinan dan mampu menurunkan kadar kemiskinan,” katanya di majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan itu, di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Sawa, Marang, petang semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah dan Adun Jabi, Haji Ramlan Ali.

Dato’ Mazlan yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan itu berkata, penyertaan peserta dari seluruh daerah pada kali ini amat menggalakkan berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pertandingan bukan hanya bertujuan menilai dari aspek kebersihan dan keceriaan kampung sahaja, tetapi juga melihat dari sudut ekonomi dan kepimpinan kampung, selain pembabitan secara aktif masyarakat kampung dan JKKK dengan aktiviti yang mampu menjana pembangunan setempat.

“Pertandingan ini mampu menyedar dan mewujudkan tanggungjawab di kalangan semua penduduk terhadap kebersihan kawasan persekitaran tempat tinggal mereka. Pada masa yang sama mampu menjadikan Terengganu selaku negeri contoh dari aspek kebersihan kepada negeri lain,” katanya.

Sementara johan bagi kategori Kampung Dalam Kawasan Operasi dimenangi PAKR Bukit Sawa diikuti tempat kedua, Kg Guntong Luar, Setiu dan tempat ketiga Kg Medan Jaya, Marang.

Manakala tempat pertama bagi kategori Kampung Luar Operasi pula menjadi milik Kg Bukit Wan, Kuala Terengganu, diikuti Tok Dor, Hulu Terengganu dan Kg Tanjung Baru, Hulu Terengganu masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Johan berjaya membawa pulang RM100,000 (projek) dan wang tunai RM10,000, tempat kedua mendapat RM750,000 (projek) dan wang tunai RM7,500, sementara tempat ketiga memperolehi RM50,000 (projek) serta wang tunai RM5,000.