Halaman

08 April 2011

Kos RM6.5 juta diagihkan kepada 13 DUN

Oleh: Suriati Ali


Bandar, Ladang, Alor Limbat, Bukit Payung, Bukit Tunggal, Tepoh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Manir akan mendapat RM500,000 setiap DUN dan diagihkan secara berperingkat-peringkat bagi menambaik sistem jalan, membina longkang dan membaiki sistem pemparitan. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Kerajaan memperuntukkan RM6.5 juta bagi menambaik sistem jalan, membina longkang dan membaiki sistem pemparitan di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap DUN termasuk Alor Limbat, Tepoh, Seberang Takir, Bukit Payung, Teluk Pasu, Ladang, Bukit Tunggal, Manir dan Bandar akan mendapat RM500,000 dan diagihkan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh terdekat.

Kawasan DUN yang sering dilanda banjir, sistem peparitan yang kurang sempurna dan terdapat pelbagai kekurangan lain akan didahulukan kerana menganggapnya sebagai keperluan terdesak oleh penduduk setempat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa sama, persimpangan Jalan Semarak menghala ke Bulatan Batu Enam, Kuala Terengganu akan diperbesarkan daripada dua lorong kepada tiga lorong membabitkan lebih dua kilometer panjang.



Katanya, penambahan lorong ini mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menghala ke Batu Enam yang semakin mendesak terutama pada waktu puncak.

“Pihak kami mengakui pembinaan lorong ini sangat dinanti-nantikan pengguna jalan raya yang sentiasa inginkan keselesaan dan keselamatan sewaktu memandu.

“Anggara kos bagi projek ini masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Apabila semua hal berkaitan seperti penyediaan pelan, tender dan sebagainya selesai, baru kita boleh bina dan berjanji akan melaksanakannya secepat mungkin,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan longkang dan cadangan jalan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petang tadi (7 April).

Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, yang juga Pengerusi Jwatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Razif Abd Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Dagang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail.

Lebih sepuluh kawasan termasuk Jalan Hiliran, Teluk Paku, Jalan Semarak, Batu Enam, Teluk Ketapang dan Bukit Payong dilawati Dato’ Seri Haji Ahmad bersama kira-kira 30 rombongan lain.

Pada sebelah petang, beliau turut mengadakan melawat kerja ke Lebuh Raya Pantai Timur II, bermula dari Gemuruh, Tepoh menuju ke Bukit Besi, Dungun. Dato’ Seri Haji Ahmad menyarankan kepada kontraktor supaya prihatin terhadap kerja-kerja pembinaan longkang di mana perlu mengikut saiz yang ditetapkan dan bukannya membina secara sesuka hati.

Katanya, setiap longkang yang bakal dibina nanti mestilah lebih lebar berbanding saiz dua hingga tiga kaki yang terdapat sekarang ini.

“Saya percara sekiranya longkang dibina berukuran lima hingga enam kaki, banjir kilat dan air bertangkung seperti sebelum ini tidak akan berlaku berikutan mudah untuk air melaluinya selain lebih cepat mengalir ke mana-mana kawasan tadahan hujan atau sungai.



“Sikap masyarakat yang gemar mencampakkan pelbagai jenis sampah seperti plastik, botol, bekas makanan dan minuman ke dalam longkang amat dikesali.

"Apabila longkang tersumbat dan laluan air tersekat `dek’ sikap sendiri cukup mudah berlakunya banjir kilat,” katanya.