Halaman

03 April 2011

Kerajaan tadbir urus masjid secara profesional

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri mengambil pendekatan serius bagi memastikan masjid dan surau di negeri ini ditadbir urus secara profesional dan sistematik.

Peranan imam dan bilal serta jawatankuasa masjid menerusi penyelarasan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pembangunan semua masjid dan surau di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata semua pihak yang dilantik itu perlu menggembeleng usaha yang bersepadu bagi menjadikan masjid sebagai institusi agama yang di pandang mulia dan tinggi di kalangan umat Islam serta semua bangsa.

Katanya, tidak hanya terhad dengan peranan itu, masjid juga menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah berasaskan al-Quran dan as-Sunnah serta nadi utama mempelbagaikan aktiviti yang membangun umat dengan amalan dan penghayatan budaya Islam, merangkumi ibadat khusus seperti sosial, ekonomi dan politik dalam landasan yang benar.

“Bagi melahirkan masyarakat Islam yang komited terhadap masjid, kerajaan giat mempelbagaikan aktiviti dan program pengimarahan kepada seluruh masyarakat ke arah Pembangunan Masjid Cemerlang.

“Malah, kita juga mahu menjadikan pengurusan masjid dan surau dalam Terengganu lebih teratur, cekap dan sistematik. Soal kebersihan dan kesucian rumah Allah itu juga harus dititikberatkan khususnya kemudahan tandas di masjid yang berada di laluan utama dan jalan besar yang menjadi persinggahan ramai,” katanya ketika menjadi tetamu Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), tengah hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 481 masjid dan 1,528 surau (termasuk 96 buah surau sekolah) terdapat di Terengganu.

Bahagian Pengurusan Masjid bertindak sebagai penyelaras dan urusetia kepada semua Pejabat Agama Daerah berkaitan dengan pengurusan masjid.

Kerajaan negeri mewujudkan empat unit bagi memastikan pengurusan masjid yang lancar dan sistematik merangkumi Unit Pentadbiran, Unit Takmir, Unit Qariah dan Unit Masjid Kerajaan.

“Unit Pengurusan Masjid umpamanya bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan dengan pengimarahan masjid, memantau perjalanan pentadbiran, aktiviti dan pengurusan masjid-masjid kerajaan. Mereka juga menguruskan hal berkaitan dengan perjawatan, pengisian, penempatan dan pemantauan pegawai masjid kerajaan.

“Manakala Unit Takmir terletak di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelaras Program Pengajian Pendidikan Agama Islam di masjid-masjid dan surau-surau yang dianjur oleh JHEAT dengan bantuan kewangan daripada Jakim,” katanya.

Selain itu, Unit Qariah bertanggungjawab dalam semua urusan yang berkaitan dengan pentadbiran, pelantikan jawatankuasa masjid dan surau, serta bertanggungjawab dalam urusan permohonan pembinaan, penyelenggaraan dan kebersihan atau keceriaan masjid dan surau.

Unit itu juga berkaitan dengan pelantikan, pentauliahan, elaun, kebajikan, tatatertib, penamatan atau persaraan, ganjaran dan tuntutan balik elaun serta hal lain berkait dengan pegawai masjid mukim.