Halaman

14 April 2011

Kerajaan letak tanda aras PNGK pelajar cemerlang

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri meletak tanda aras kepada pelajar yang berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas sahaja yang layak untuk menukar taraf pinjaman pengajian kepada biasiswa serta menerima sagu hati RM5,000.

“Ini kita putuskan dalam mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu baru-baru ini dan pelajar yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian PNGK 3.75 akan diiktiraf untuk menerima kemudahan itu,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Bercakap pada sidang media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Imtiaz dan Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2010 di Wisma Darul Iman, hari ini, beliau berkata, pada masa ini Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara tidak sama dalam meletakkan tahap pencapaian yang melayakkan pelajar mendapat Ijazah Kelas Pertama.

Katanya, sesetengah universiti mengiktiraf pelajar yang mendapat PNGK 3.4 untuk ijazah kelas pertama manakala sebahagian lagi menetapkan PNGK 3.5 atau 3.6.

Mulai tahun ini, katanya, kerajaan akan tetapkan markah tersebut sebagai tanda aras dalam membuat penilaian kepada pelajar dan keputusan itu tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Tahun lepas anak Terengganu yang mendapat kepujian ijazah kelas pertama seramai 168 orang dan pelajar yang menerima pinjaman daripada YT akan ditukar kepada biasiswa beserta sagu hati RM5,000.

Menteri Besar berkata, bagi pemegang pinjaman dari agensi lain terpulang kepada pihak agensi terbabit untuk memutuskan status pinjaman mereka tetapi kerajaan tetap beri saguhati RM5,000 kerana mereka anak tempatan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah mengeluarkan RM840,000 untuk saguhati kepada pelajar cemerlang di peringkat universiti dan RM202,500 kepada pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Alhamdulillah majoriti pelajar yang cemerlang ini telah memilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan kejuruteraan,” katanya.