Halaman

04 April 2011

Kerajaan bantu penanam tembikai

Oleh: Esah Abdullah


Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat meninjau petani yang menanam tembikai di Kampung Baroh, Pecah Rotan, Batu Rakit.

Kerajaan negeri akan memberi bantuan dalam bentuk kewangan atau bantuan benih dan baja kepada petani yang mengalami kerugian akibat ditenggelami air dalam kejadian hujan lebat yang melanda negeri ini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan sumber kewangan daripada Tabung Darul Iman (TDI) manakala bantuan lain seperti baja dan benih akan disalurkan melalui Jabatan Pertanian.

“Kejadian bencana alam tidak mampu dielakkan dan kedatangannya juga tanpa diduga, lalu sebagai manusia biasa kita perlu pasrah dan jangan berputus asa dengan nikmat Allah,” katanya ketika ditemui di kawasan projek tanaman tembikai di Kampung Baroh, Pecah Rotan, Batu Rakit baru-baru ini.

YB Haji Khazan juga meminta petani terbabit membuat laporan lengkap mengenai kerugian yang dialami serta senaraikan keperluan lain bagi memulakan tanaman baru pada masa akan datang.

“Kita faham kesusahan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada tanaman berkenaan sebagai punca pendapatan menyara keluarga dan dalam keadaan sekarang mereka amat perlukan sokongan untuk bangunkan semula kawasan pertanian itu,” katanya.

Seramai 51 petani dari Kampung Terap, Darat Batu Rakit dan Pecah Rotan mengalami kerugian apabila 45 hektar tanaman tembikai mereka ditenggelami air sedalam 1.5 meter dalam kejadian hujan lebat yang melanda baru-baru ini dan kerugian dianggarkan mencecah RM400,000.

Setiap peserta mengusahakan satu hingga tiga hektar tanaman tembikai yang dijangka mencapai tempoh matang dua minggu lagi tetapi malang tidak berbau, semua hasil tanaman musnah akibat ditenggelami air selama seminggu.

Ketika memulakan projek tanaman berkelompok berkenaan pada Januari lalu, kumpulan petani ini mendapat bantuan baja dan benih tanaman dan mereka dijangka memperolehi hasil sekitar RM4,000 hingga RM16,000 bergantung kepada keluasan tanaman.