Halaman

23 April 2011

Kadar jenayah Terengganu turun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kadar jenayah di Terengganu menurun 13.6 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustapa, berkata dalam tempoh yang sama juga, kadar jenayah di semua daerah di negeri ini termasuk Kuala Terengganu juga menunjukkan penurunan.
Katanya, kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat terutama dalam aspek menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah sedikit sebanyak membantu pihak polis menyelesai dan mengurangkan kadar jenayah di seluruh Terengganu.

“Penganjuran program bersama masyarakat selain penguatkuasaan yang berterusan seperti Operasi Samseng Jalanan juga mempengaruhi pengurangan jenayah di negeri ini,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan April 2011 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Hamzah Mohd Jalil.

Datuk Jamshah juga mengharapkan semua warga PDRM dapat mempertingkatkan dan mengamalkan budaya murni termasuk mesra, proaktif, bekerjasama, berdisiplin dan berbudi bahasa semasa melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.