Halaman

01 April 2011

Imam dan bilal sentiasa `on call’

Oleh: Aida Abd Rahman

Imam dan bilal di negeri ini bukan hanya terhad kepada peranan hakiki melaungkan azan dan mengetuai solat berjemaah di masjid yang ditugaskan kepada mereka, malah golongan itu juga sering `on call ’ dengan tugas sampingan yang berkaitan dengan komuniti setempat.

Naib Yang Dipertua Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim, berkata kumpulan imam khususnya, sering diminta mengetuai tahlil, talkin serta solat hajat tanpa mengira masa dan ketika.

Bagaimanapun, tanggungjawab yang menjadi fardu kifayah itu dilaksanakan tanpa halangan dan masalah kerana mereka ikhlas bertugas demi mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, katanya, peranan mereka yang tiada batasan itu memerlukan perhatian dan pembelaan yang setimpal termasuk dilindungi dalam insurans berkelompok bagi memastikan mereka mendapat perlindungan khusus.

“Kalau boleh kami mahu supaya insurans berkelompok itu diteruskan semula selepas Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) menaja insurans itu setahun pada 2008. Ia penting kerana imam bilal sentiasa turun awal pagi dalam keadaan masih gelap yang boleh menyumbang pelbagai kejadian tidak diingini sperti kemalangan dengan haiwan ternakan, mahupun dilanggar kenderaan,” katanya ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohamad Rozali Salleh.

Haji Mohamad juga meminta kerajaan negeri meneruskan bantuan serta penajaan menunaikan Haji serta umrah kepada imam dan bilal yang cemerlang. Insentif itu pernah diberikan ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu dan dihentikan sebagai Terengganu dikuasai Pas.

Beliau juga meminta supaya kerajaan negeri meluluskan permohonan persatuan itu untuk melantik ketua imam di setiap masjid mukin bagi penyelarasan tugas serta mengelakkan sebarang masalah berkaitan pengurusan masjid dan surau.

“Kita juga memohon kerajaan menyediakan bantuan pengurusan persatuan sebagaimana yang kita perolehi pada 2010 sebanyak RM60,000. Kalau boleh ditambah lagi menjadi RM80,000 kerana peruntukan itu kita gunakan untuk faedah dan kebajikan ahli terutamanya bantuan anak-anak ke universiti, kematian, uzur dandimasukkan ke hospital,” katanya.