Halaman

08 April 2011

Seberang Takir perintis Sebuah Rumah, Seorang Graduan

Oleh: Aida Abd Rahman


YB Ahmad Razif bersama keluarga angkat perintis program `Sebuah Rumah, Seorang Graduan'. - Foto: Harish Fadzillah.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menjadi lokasi perintis program `Sebuah Rumah, Seorang Graduan’ sebelum program yang sama dilaksanakan di seluruh Terengganu secara berperingkat-peringkat.

Seramai 28 keluarga dari Kampung Tok Jembal dan Kubang Badak (DUN Seberang Takir) terpilih menjadi keluarga angkat kepada 31 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terdiri daripada pelbagai kursus pengajian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi , Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata semua graduan yang terpilih dalam program pertama ini diharap mampu menjadi model dan ikon kepada keluarga angkat mereka supaya ada di kalangan anak-anak mereka turut mengikut jejak ke universiti selepas tamat persekolahan kelak.

“Kita mahu mereka menjadi idola atau contoh kepada adik angkat supaya mereka belajar bersungguh dan dapat masuk pusat pengajian tinggi. Itu matlamat utama kita,” katanya selepas melancarkan program penyerahan anak angkat kepada keluarga masing-masing, di Balai Raya Kubang Badak, Kuala Terengganu, semalam.



Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Tajaan) Yayasan Terengganu (YT), Encik Razali Mahmud.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, berkata dalam tempoh lima bulan lagi, program kedua yang juga menjadi program perdana akan dilaksanakan di seluruh Seberang Takir melibatkan 22 kampung termasuk di penempatan Pasukan Gerakan Am dan Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Katanya, program itu mensasarkan pelajar bermula dari tahun dua pengajian supaya mempunyai tempoh masa yang lebih panjang bersama keluarga angkat masing-masing sebelum mereka menamatkan pengajian.

Beliau mengharapkan hubungan itu tidak hanya berlangsung sepanjang program tiga hari sahaja, sebaliknya mereka tetap menjalinkan hubungan itu sampai bila-bila dan sentiasa bbertanya khabar serta mengirimkan buah tangan apabila pulang ke kampung masing-masing kelak.

Haji Razif turut berhasrat memanjangkan perancangan mengadakan program itu ke seluruh Terengganu dan akan melihat keberkesanan program perintis itu, selain melakukan penambahbaikan bagi memastikan impaknya lebih besar.

“Sebab itu kita mengajak Yayasan Terengganu untuk bersama dengan kita dan meminta Yayasan Terengganu supaya mengadakan program anak angkat selepas ini, kalau di mana-mana university kita akan pastikan bahawa penempatan anak angkat ini di rumah yang isi rumahnya belum ada graduan.



“Kita akan laksanakan dengan lebih baik dan teratur selepas ini. Selepas ini mungkin kita akan dapatkan beberapa pihak termasuk universiti dan usaha sama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan buat satu kertas kerja untuk memohon peruntukan terus melalui kementerian bagi mendapatkan satu bajet daripada Kerajaan Pusat yang boleh dilaksanakan ke seluruh negeri,” katanya.

Katanya, program itu kelak mungkin mampu menjadi rujukan dan model kepada negeri lain, sekaligus merealisasikan konsep Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Program kerjasama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir, UMT dan YT berlangsung tiga hari dan berakhir 9 April ini turut melibatkan pelbagai program sampingan termasuk bacaan Yasin dan tahlil, pameran UMT, motivasi dan bengkel persediaan peperiksaan untuk anak-anak keluarga angkat, ibu bapa serta gotong-royong.