Halaman

19 April 2011

Bandar Baru Kijal jadi pusat ekonomi

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Bandar Baru Kijal akan menjadi pusat ekonomi daerah Kemaman. - Foto: Zulkipli Putra.

Bandar Baru Kijal yang sedang dibangunkan dengan premis perniagaan, akan menjadi pusat ekonomi daerah Kemaman apabila hub-textile yang dibina di kawasan tersebut mula dibuka tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pembukaan 44 unit kedai menjual tekstil akan turut menyediakan banyak peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.

“Selain itu, Bandar Baru Kijal juga menyediakan pasar raya Giant bagi memudahkan orang ramai membeli-belah dan gelanggang bowling,” katanya ketika berucap pada majlis pembahagian bantuan pakaian sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Sivik Kijal, kelmarin.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, turut mengumumkan hospital daerah Kemaman yang baru dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perubatan canggih akan dibina di Bandar Baru Kijal.

Dato’ Seri Ahmad juga berkata, pembinaan jalan empat lorong turut dirancang di kawasan tersebut bagi keselesaan pengguna jalan raya, khususnya mereka yang ingin memasuki bandar tersebut.

“Kesemua projek ini dirancang untuk kemudahan dan keselesaan rakyat, khususnya penduduk di kawasan Kijal,” ujar beliau.