Halaman

19 March 2011

Top IT bantu kerajaan jaya agenda pendidikan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebagai sebuah anak syarikat negeri, Top IT Industries Sdn Bhd diberi tanggungjawab besar bagi membantu menjayakan sebahagian agenda Kerajaan Terengganu untuk mengangkat martabat bidang pendidikan di negeri ini.

Kini dua agenda besar berjaya dilaksanakan syarikat tersebut iaitu program e-Book dan ‘Terengganu Brilliant Kids’ (TBKids).

Bukan setakat itu saja, kedua-dua program tersebut yang sudah menampakkan pelbagai hasil positif kini mendapat pujian pelbagai pihak sama ada di dalam negeri mahu pun luar negara.

Program TBKids diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu untuk kanak-kanak tadika berusia lima dan enam tahun bagi mendedahkan mereka kepada kemudahan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) di peringkat pra-sekolah.

Dalam menjayakan program itu, Top IT mendapatkan kerjasama empat agensi utama iaitu Kemas, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Pelajaran (pra-sekolah) dan Yayasan Islam Terengganu bagi menyediakan kandungan sukatan program TBKids.

Bagi tujuan tersebut perbincangan dilakukan dengan guru-guru pakar bagi setiap mata pelajaran, melibatkan kempat-empat agensi berkenaan.

Terdapat enam mata pelajaran utama program berkenaan, termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral dan Jawi.

Melalui program itu setiap tabika dibekalkan dengan ‘interactive white board’ menggunakan papan sesentuh yang mengandungi elemen-elemen audio, visual dan multimedia serta latihan-latihan yang menguji tahap kecerdasan semasa sesi pembelajaran.

Kaedah ini dapat menarik minat kanak-kanak berbanding cara biasa yang menggunakan bahan-bahan bantuan mengajar secara manual seperti lukisan, kertas patung dan ‘mountain board’.

Bagi menjayakan program e-Book pula, Top IT diberi tanggungjawab yang lebih besar di mana ia melibatkan seluruh sekolah rendah di negeri ini.

Program e-Book diperkenalkan kerajaan negeri bagi menggantikan buku teks yang menjadi beban kepada para pelajar sejak sekian lama.

Selain mengandungi silibus mata pelajaran yang dibekalkan Kementerian Pelajaran, e-Book turut memuatkan perisian 30 juzuk al-Quran, pengajian fardu Ain dan kaedah solat jenazah.

Pada tahun pertama syarikat itu dikehendaki membekalkan sebanyak 25,000 unit e-Book untuk kegunaan murid Tahun Lima sekolah rendah seluruh negeri.

Top IT membina kilang berharga RM6.8 juta yang mampu mengeluarkan 20,000 unit e-Book sebulan, bagi membekalkan kemudahan tersebut. Kilang tersebut yang beroperasi di kawasan perindustrian Gong Badak, turut menempatkan 20 pakar ICT bagi tujuan pengeluaran e-Book.

Tahun berikutnya, syarikat itu dikehendaki membekalkan 50,000 unit e-Book bagi kegunaan murid Tahun Lima dan Tahun Empat di semua sekolah rendah bantuan kerajaan seluruh negeri.

Lebih membanggakan kini syarikat itu turut mengeluarkan computer riba dan perisiannya sendiri menggunakan jenama TC (Terengganu Komputer). Antara produk yang dikeluarkan ialah TC E09, E10, 142, R40 dan T10.