Halaman

03 March 2011

Terlalu awal untuk tentu soal calon – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, beliau tidak berminat untuk memberi sebarang komen mengenai calon mana yang perlu bertanding atau wakil rakyat mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada muka baru.

“Terlalu awal untuk komen, kita tak tahu lagi bila piliihan raya (umum) akan diadakan,” katanya kepada wartawan ketika diminta memberi komen mengenai lima wakil rakyat dalam Umno Bahagian Besut yang dikatakan sedia berundur bagi memberi laluan kepada muka baru bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.


YB Dato’ Seri Idris Jusoh

Mengikut laporan akhbar Berita Harian semalam, bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih dan Ahli Parlimen Besut, Dato’ Dr Abdullah Md Zin, sepakat menyatakan kesediaan untuk berundur bagi memberi laluan kepada calon baru bertanding.


YB Dato’ Dr Abdullah Md Zin

Tiga lagi Adun lain yang menyatakan hasrat sama ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian yang juga Adun Hulu Besut, Nawi Muhamad; Naib Ketua Bahagian merangkap Adun Kota Putra, Muhammad Pehimi Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar yang juga Adun Kuala Besut.


YB Dr Abdul Rahman Mokhtar


YB Muhammad Pehimi Yusof

Mereka sepakat menyatakan hasrat itu pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih, malam kelmarin.


YB Nawi Muhamad

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, pucuk pimpinan parti akan menentukan calon-calon yang sesuai untuk bertanding di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen apabila tiba masa pilihan raya akan diadakan.