Halaman

15 March 2011

Terengganu capai sifar miskin tegar

Oleh: Aida Abd Rahman


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Terengganu berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar dan kurang 2.8 peratus miskin pada akhir tahun lalu hasil pelaksanaan pelbagai program bagi membasmi kemiskinan.

Sejak 2004 sehingga akhir tahun lalu, jumlah penduduk miskin berjaya dikurangkan apabila daripada kedudukan ketiga sebagai negeri termiskin seluruh Malaysia, Terengganu berjaya turun kepada kedudukan kelima di belakang Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata sehingga kini, seramai kira-kira 20,000 jumlah kemiskinan di seluruh Terengganu merangkumi kategori miskin tegar (100 orang), miskin (4,400 orang) dan mudah miskin (15,500 orang).

Katanya, kesemua mereka disenaraikan dalam sistem e-Kasih di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri .

Beliau berkata, contoh kategori miskin adalah jika sebuah keluarga memerlukan RM30 sehari sebagai perbelanjaan isi rumahnya dan hanya memperolehi RM20 daripada keperluan sebenar (RM30) itu, maka dia dikategorikan golongan miskin.

Sementara, jika ada keluarga memerlukan RM30 tetapi hanya memperolehi RM10, situasi itu dikategorikan miskin tegar.

Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007, miskin tegar ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia. Manakala pendapatan per kapita isi rumah tersebut adalah RM100 dengan bilangan isi rumah 4.4 (bagi semenanjung).

Katanya, miskin tegar pula adalah di kalangan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari PGK makanan. PGK makanan adalah berdasarkan keperluan harian kilo kalori setiap individu berdasarkan metodologi PGK makanan 2005 bagi Malaysia ialah RM4150.

Bagi kategori miskin pula (berdasarkan PGK 2007), golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM720 bagi Semenanjung, RM960 bagi Sabah dan RM830 bagi Sarawak.

Sementara mudah miskin pula merupakan golongan yang mempunyai pendapatan melebihi PGK bermaksud treshold di bawah RM1500 bagi bandar dan RM1,000 bagi luar bandar.

“Bagaimanapun, hampir 10,000 rakyat Terengganu sudah terkeluar daripada sistem e-Kasih bermula 2004 hingga penghujung 2010.

“Pengurangan kadar kemiskinan itu berpunca daripada pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan negeri di pelbagai peringkat termasuk bantuan perniagaan menerusi Tabung Darul Iman dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) serta bantuan am lain melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi pelaksana,” katanya.