Halaman

20 March 2011

Rakyat gembira sistem pengangkutan dinaiktaraf

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Projek insfraksruktur terutama mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang rata-ratanya berlaku di kawasan bandar dan jalan keluar dari pusat bandaraya akan diperhebatkan. - Foto: Zulkipli Putra.

Pengumuman kerajaan berhubung projek menaiktaraf sistem pengangkutan, pembinaan Terminal Bersepadu di Bandaraya Kuala Terengganu dan jalan sokongan keluar dari pusat bandaraya, amat melegakan rakyat negeri ini.

Sememangnya kerajaan negeri prihatin dengan masalah kesesakan jalan raya sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, terutama pada waktu puncak.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri menerima suntikan bantuan kewangan sebanyak RM112.05 juta melalui pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) Kerajaan Pusat.

Peruntukan tersebut akan digunakan bagi membina Terminal Bersepadu di Kuala Terengganu dalam usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam di negeri ini serta pembinaan beberapa terminal lain di seluruh negeri.



Mengikut laporan sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib mengumumkan beberapa projek bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam, termasuk menaiktaraf terminal di Setiu, pembinaan terminal ‘park & ride’ dan pusat transit di Hulu Terengganu serta hentian bas.

Pembinaan jalan KT-Bypass yang dirancang sebelum ini akan diteruskan bagi memastikan sistem rangkaian jalan yang sistematik dan teratur untuk pembangunan kawasan bandar baru Bukit Besar.

Pembinaan jalan tersebut juga dapat menghubungkan rangkaian jalan sedia ada ke Jambatan Pulau Sekati, Jalan Tok Kong ke Bukit Guntong seterusnya ke Jambatan Losong Feri dan Bukit Datu.

Beberapa jalan sokongan lain akan dibina termasuk Jalan Gong Nangka ke Bukit Kor, Marang; Jalan Mak Jintan, Setiu ke Batu Rakit, Kuala Terengganu; Jalan Pecah Rotan ke Kampung Lingai di Kuala Terengganu serta menaiktaraf Jalan Tanjung Baru, Lerek, Kepah di Hulu Terengganu dan jalan Kubu ke Felda Chadur di Marang.

Projek ini akan mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang rata-ratanya berlaku di kawasan bandar dan jalan keluar dari pusat bandaraya.

Pengumuman ini pastinya menggembirakan pengguna jalan raya, khususnya kakitangan awam dan swasta yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas setiap kali ke pejabat dan pulang ke rumah.

Sikap prihatin kerajaan negeri menyelesaikan masalah pengguna jalan raya ini amat dialu-alukan dan menggembirakan pengguna jalan raya.