Halaman

23 March 2011

PPDNKK Terengganu perkenalkan program sembang pengguna

Oleh: Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT) perkenalkan program ‘sembang pengguna’ mencari pendekatan bersama anggota masyarakat yang berkait masalah barangan keperluan harian.

“Kumpulan sasar adalah masyarakat termasuk jabatan kerajaan, pertubuhan sukarela, atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jawatankuasa masjid,” kata Timbalan Pengarah PPDNKKT, Encik Abdul Ghani Harun.

Katanya, program sembang tidak perlu penglibatan ramai cukup dalam kelompok yang kecil antara 10 atau 15 orang untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai keperluan dan harga barang di tempat masing-masing.

Selain itu katanya, jabatan juga telah pelbagaikan pendekatan dengan masyarakat luar bandar, tanah rancangan, penempatan baru serta pelajar dengan berkunjung ke tempat berkenaan untuk memberi penjelasan tentang isu-isu semasa membabitkan rasionalnya kenaikan harga barang

“Semua anggota PPDNKKT di setiap daerah diarah turun kesetiap pelusuk kampung untuk beri ceramah dan pameran tentang harga barangan semasa agar tidak diekploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kaunter aduan akan dibuka di pasar raya dan tempat awam untuk menerima sebarang aduan berkaitan dengan kenaikan harga barang, kekurangan bekalan dan sebagainya.