Halaman

10 March 2011

PM bantu gempur Dun Manir, Bukit Tunggal

Oleh:Kamarudin Mat Akib

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan membantu Umno Terengganu menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dan Bukit Tunggal, akhir April ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengadakan majlis pemimpin bersama rakyat yang melibatkan kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu di dua kawasan yang diwakili pembangkang bagi menyemarakkan gerak kerja Umno.

Beliau berkata, Umno kini nekad untuk merebut kembali dua kawasan tersebut serta enam lagi kawasan lain yang turut dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu.

Enam kawasan DUN lain ialah Batu Buruk, Ladang, Bukit Payong, Sura, Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, program pemimpim bersama rakyat di DUN Manir dan Bukit Tunggal merupakan sebahagian daripada jadual sempena lawatan Perdana Menteri dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, ke Terengganu pada 30 April ini.

Lawatan ini amat bermakna kepada Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad selaku Menteri Besar kerana genap tiga tahun beliau menerajui Terengganu pada akhir Mac ini.

“Kita akan gempur kawasan tersebut habis-habisan supaya ia dapat dipulangkan semula ke pangkuan Umno,” ujar Menteri Besar ketika merasmikan persidangan berkelompok Umno cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, malam tadi (9 Mac).

Beliau berkata, Umno Terengganu akan mengadakan program-program penerangan isu-isu semasa dan pelbagai kegiatan lain di kawasan tersebut bagi memastikan Umno dapat merampas semula kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.