Halaman

15 March 2011

PIMPINAN TERENGGANU ANTARA PENERIMA BINTANG DAN PINGAT PPM.

Laporan: Ruslan Abdul Rahman,Yusof,Rahim,Azli& Aris dari Putrajaya.


Dato' Mat Razali Kassim sedang menerima bintang persekutuan Pengakap Malaysia dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, YB Haji Rozi Mamat adalah antara penerima bintang di Majlis Pengurniaan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Istana Melawati, Putrajaya pagi ini (15 Mac).

Beliau menerima Bintang Semangat Perak iaitu anugerah keempat tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia yang disampaikan kepada tokoh-tokoh yang memberi perkhidmatan dan bakti yang terpuji kepada pergerakan pengakap.

Turut menerima bintang yang sama ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Azlan Dagang, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Mat Razali Kassim dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud bersama-sama beberapa penerima lain dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak.



Sebelum itu, dalam majlis yang berasingan di Istana Melawati, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mendahului penerima bintang dan pingat (PPM) dengan dikurniakan Bintang Semangat Padi Emas Kelas Pertama.

Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak menerima kurniaan Bintang Semangat Padi Emas Kelas Pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bintang Semangat Padi Kelas Pertama adalah anugerah tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia yang hanya disampaikan kepada tokoh-tokoh terbilang sahaja.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dan To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Awang dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah adalah antara tetamu yang hadir selain beberapa Menteri Pusat.

Penerima-penerima lain dari Terengganu pada majlis hari ini ialah Yang Di Pertua Majlis Daerah Setiu, Ishamudin Hashim, Haji Ahmad Awang (Unit Perancang Ekonomi Terengganu) dan Zulkifli Ali (Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Pengurusan Majlis dan Protokol).

Mereka menerima Pingat Perkhidmatan Gemilang (PPG) iaitu pingat yang dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin bertauliah yang telah banyak menabur jasa dan bakti cemerlang di atas perkembangan pengakap.



Manakala Pegawai Pengurusan Majlis dan Protokol , Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Mohd.Zahari Jannah menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) iaitu pingat kepada mereka yang memberi sumbangan yang sama juga dengan PPG.

Dato' Seri Ahmad bersyukur dan bangga di atas anugerah yang diterima oleh pimpinan dan pegawai dari Terengganu di majlis berkenaan hari ini.