Halaman

15 March 2011

PIBG bantu tugas guru

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri terus berusaha memperkasakan sekolah-sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui pelbagai bantuan dan program yang menjurus ke arah meningkatkan tahap pencapaian pelajar.

“Sekolah adalah sebuah institusi penting , juga sebagai kilang melahirkan generasi berpendidikan dan kita boleh berbangga bila lebih ramai golongan professional akan wujud dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, fokus sekarang untuk mendidik golongan pelajar lebih mencintai ilmu keagamaan agar mereka sentiasa memilih jalan positif serta mampu mengelak daripada terjerumus dalam gejala tidak sihat.

“Peranan ibu bapa begitu besar dalam membentuk peribadi anak-anak ketika di rumah di samping tugas guru bila mereka berada di sekolah,” katanya di majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran kepada PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, hari ini (15 Mac).

Terdapat 13 buah sekolah dalam DUN Batu Rakit iaitu empat buah SMK dan sembilan SK, masing-masing menerima RM1,000 (SK) dan RM2,000 (SMK) dengan jumlah keseluruhan RM17,000.

“Ramai kalangan ibu bapa hari ini ingin menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama (SMA) dan untuk memenuhi permintaan berkenaan kerajaan wujudkan kelas khas hafaz di SMA negeri di samping sekolah Imtiaz,” katanya.

Katanya, mereka yang cemerlang dalam pelajaran tidak semestinya berjaya dalam kehidupan kerana kebolehan berkomunikasi dengan masyarakat dan mempunyai rangkaian kawan-kawan yang ramai adalah penting ketika berada dalam realiti kehidupan sebenar.