Halaman

16 March 2011

Penerbangan umrah tiga kali setahun dari LTSM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu merancang mengadakan penerbangan untuk mengerjakan umrah secara berkala, tiga bulan sekali dari Kuala Terengganu ke Jeddah selepas melancarkan penerbangan pertama menerusi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pada 18 Mac (Jumaat) ini.

Penerbangan pertama melibatkan kumpulan penerima Anugerah Umrah yang terpilih selepas terlibat dengan operasi Haji musim lepas yang bermula pada 16 Oktober dan berakhir dengan penerbangan balik 17 Disember lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peluang menunaikan umrah itu juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan kapisiti muatan 450 tempat duduk disediakan bagi satu penerbangan.

“Penerbangan Anugerah Umrah ini merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada media, hari ini (16 Mac).

Penerbangan pada Jumaat ini dijadualkan kira-kira jam 5.10 petang dan penerbangan balik pada 29 Mac.

Beliau berkata, program ini menjadi jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat AD Charter Services Sdn.Bhd yang telah mengendalikan Operasi Haji Musim 2010 lalu.

Syarikat berkenaan bersetuju pula menawarkan satu penerbangan umrah secara terus Kuala Terengganu Jeddah dengan harga tiket penerbangan subsidi pada kadar RM1,500 termasuk cukai lapangan terbang dengan pakej umrah pada kadar minimum RM3,800 seorang termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan oleh setiap agensi, isitu pakej biasa, sderhana dan kelas pertama, di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Selain itu, terdapat empat agensi yang disenaraikan mengikut `track record’ yang baik dan emmuaskan untuk menguruskan umrah iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, Imtiyaz Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd dan TH Travel & Services Sdn Bhd.

Pada musim haji yang lalu, sebanyak tujuh penerbangan dari LTSM membawa 2,387 jemaah haji yang terdiri daripada 1,545 jemaah i Terengganu selain Kelantan (647), Pahang (109) dan 86 jemaah dari lain-lain negeri .