Halaman

08 March 2011

Pelajar sekolah agama raih keputusan cemerlang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sekolah-sekolah agama di negeri ini menunjukkan peningkatan pencapaian yang cemerlang sejak kebelakangan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat.

Beliau berkata, ini amat membanggakan kerana kebanyakan pelajar sekolah agama, terutama mereka yang perlu menghafaz al-Quran, mampu menananggung beban yang begitu tinggi yang terletak di atas bahu mereka.

Sebagai contoh, katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Besut mencatatkan keputusan paling tinggi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan akhir tahun lalu.

“Begitu juga keputusan peperiksaan awam di sekolah-sekolah agama lain, termasuk Institut al-Quran, telah mencatatkan keputusan yang cemerlang dan amat membanggakan ibu bapa,” katanya ketika majlis pelancaran program tadarus al-Quran di Masjid Kristal, semalam.

Justeru itu, beliau meminta para pelajar yang sedang menuntut di sekolah-sekolah agama supaya mempertahankan momentum ini dan mencatatkan kejayaan lebih cemerlang di masa depan.

Beliau berkata, pelajar aliran agama perlu bersyukur kerana mempunyai kelebihan berbanding pelajar aliran biasa kerana pengajian mereka termasuk ilmu yang boleh disebar kepada umum sebagai bekalan ke akhirat.