Halaman

24 March 2011

PAS GANTI UMNO – Pas terkenang masa dulu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Rakyat Terengganu akan menanggung akibat jika mereka menyokong Pas yang kini semakin ghairah menggunakan slogan “Pas ganti Umno”.

Bagi memenuhi permintaan seorang wartawan tempatan supaya beliau memberi komen slogan “Pas ganti Umno”, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, YB Yahya Khatib Mohamad, memberi komen berikut:

“Saya teringat dengan senikata sebuah lagu lama dendangan Allahyarham R Azmi yang berbunyi ‘terkenang semasa dulu, hatiku merasa pilu’. Apa makna senikata lagu ini? Saya mentafsirkan pemimpin Pas ini terkenang apa yang mereka sudah buat pada suatu masa dahulu,” ujarnya.

Secara lebih lanjut beliau menjelaskan Pas pernah memerintah negeri ini pada tahun 1999 hingga 2004 di mana rakyat Terengganu sudah merasai keperitan hidup di bawah pemerintahan parti itu.

“Semasa Pas memerintah Terengganu mereka tutup Tadika Kemas menyebabkan kanak-kanak tidak dapat bersekolah. Mereka rantai mesin jahit di kelas menjahit di kampung-kampung. Mereka bertindak zalim merampas kereta Exco dan masuk ke bangunan Wisma Darul Iman secara tidak berhemah.

“Banyak kezaliman yang dilakukan oleh Pas dengan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) bertindak secara keterlaluan di kampung-kampung,” tambahnya.

Sewaktu Pas memerintah Terengganu, negeri ini mengalami zaman gerhana di mana tidak banyak projek pembangunan dilakukan dan tanah kerajaan dibahagikan kepada kroni-kroni mereka saja.

Pada masa itu juga pegawai kerajaan ditukar sesuka hati dan ramai imam dan bilal dipecat kerana mereka tidak menyokong pemimpin parti itu.

YB Yahya berkata, jika Pas diberi peluang memerintah semula negeri ini, mereka akan mengulangi perkara yang sama dan rakyat akan menanggung akibatnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan pemimpin Pas mengingati masa lalu mereka dan mengulangi kesilapan yang sama terhadap penduduk tempatan.