Halaman

27 March 2011

Pandu Puteri kutip derma bantu mangsa Tsunami di Jepun

Oleh: Esah Abdullah

Terpanggil untuk membantu mangsa bencana tsunami di Jepun, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Terengganu mengambil inisiatif melancarkan tabung derma dalam satu majlis ringkas di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu.

“Sebanyak 150 tabung diedarkan ke sekolah-sekolah seluruh negeri untuk mengumpul dana membantu mangsa tsunami dan juga gempa bumi di negara Jepun,” kata Ketua Pesuruhjaya PPPM Cawangan Terengganu, Puan Zaini Mohd. Nor.

Katanya, setiap sekolah terpilih menerima sebuah tabung dan terpulang kepada pengurusan sekolah bagaimana cara untuk mengisi tabung berkenaan sama ada guru, ibu bapa dan juga pelajar boleh menderma.

“Sebanyak 100 tabung akan diedarkan ke Sekolah Menengah (SM) dan Sekolah Kebangsaan (SK) sekitar bandaraya manakala selebihnya akan diedarkan ke daedah-daerah mengikut permintaan pesuruhjaya daerah,” katanya.

Menurut Puan Zaini, kutipan derma berjalan selama dua minggu bermula semalam dan meminta orang ramai tampil menghulurkan sumbangan sekadar yang termampu.

Selain itu katanya, pihak persatuan turut mengagihkan tabung di kedai makan dan hotel yang menjadi tumpuan ramai serta berpotensi menghulur derma.

“Persatuan akan membuat penjumlahan hasil kutipan daripada semua tabung yang diedarkan pada 6 April depan dan akan diserahkan kepada PPPM Pusat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.