Halaman

31 March 2011

Nasi dagang jadi menu jemaah haji dalam pesawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Jemaah Haji khususnya dari Pantai Timur yang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) untuk ke Makkah dijangka dapat menikmati makanan tradisional Terengganu, khususnya nasi dagang ketika dalam penerbangan pulang daripada mengerjakan ibadat itu bermula tahun ini.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bersetuju menawarkan perkhidmatan istimewa itu kepada jemaah yang bakal diselenggarakan oleh Riyaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata kerajaan membelanjakan lebih RM1 juta untuk membeli kelengkapan penyediaan makanan dan memasak bagi memastikan hasrat menyediakan juadah Terengganu itu berjalan lancar.

“Masakan akan disediakan oleh Riyaz (Heritage Resort & Spa). Dulu, kita tidak mempunyai alat yang cukup dan kita sudah menambah dua alat lagi. Ini pastinya akan menambah pendapatan kepada Riyaz.

“Masa akan datang apabila balik dari Makkah, jemaah boleh menikmati hidangan nasi dagang dalam pesawat selepas beribadat kira-kira 40 hari di Tanah Suci ,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan Bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, malam semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohamad Rozali Salleh dan Naib Yang DiPertua Persatuan Imam dan Bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim.

Selain nasi dagang, Menteri Besar juga mencadangkan kepada Riyaz supaya mempelbagaikan menu tradisional Terengganu termasuk menyediakan muffin gadong dan kuih-muih lain.

Dalam pada itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.8 juta bagi memastikan kelancaran operasi penerbangan haji secara terus menerusi LTSM sepanjang 2010 dan 2011.

Perbelanjaan besar yang diperuntukkan kepada Lembaga Tabung Haji itu bagi memastikan segala urusan penerbangan beroperasi dengan lancar sebagaimana kejayaan pengurusan penerbangan ke tanah suci yang mula dikendalikan sejak 2008 itu.

Pada musim haji yang lalu, sebanyak tujuh penerbangan dari LTSM membawa 2,387 jemaah haji yang terdiri daripada 1,545 jemaah Terengganu, selain Kelantan (647), Pahang (109) dan 86 jemaah dari negeri lain.