Halaman

13 March 2011

MID bantu masyarakat luar bandar dalami ICT

Oleh: Suriati Ali



TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) berusaha membantu hasrat kerajaan mempromosi penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), di kalangan masyarakat luar bandar, dengan mengambil inisiatif membina Medan Infodesa (MID) Ladang Tayor, Setiu.

MID cukup berguna kepada penduduk di kawasan itu untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain mempelajari bidang ICT secara mendalam.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Ruslan Awang Chik, berkata pembinaan MID adalah sebahagian daripada tanggungjawab pihaknya dalam usaha membantu kerajaan mencapai matlamat penggunaan ICT di kawasan pendalaman selain merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar.

“Program Infodesa juga dirancang secara spesifik untuk mencapai objektif kementerian. Oleh itu, pihaknya memerlukan masyarakat berkualiti, berkemahiran, berpengetahuan, kreatif dan berinovatif yang merupakan teras mencapai matlamat menjadi negara maju,” katanya.

TDM Berhad yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, merupakan syarikat pegangan pelaburan milik Terengganu dengan kecekapan teras dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.