Halaman

10 March 2011

KUT siap tahun depan

Oleh: Suriati Ali

Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang bakal dibina di Kampung Kubang Jela, Manir membabitkan peruntukan RM26 juta dijangka siap akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, ia bakal menjadi pusat sehenti bagi memenuhi keperluan usahawan termasuk mendapatkan segala maklumat dan kemudahan dalam urusan perniagaan.

Kompleks setinggi tiga tingkat ini akan menyediakan ruang niaga untuk disewa, bilik pameran dan pusat pengeluaran moden dan tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri menjanjikan kelainan dalam konteks pembangunan sektor keusahawanan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu.

“Ia bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan ini dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed berkata, separuh daripada KUT yang terletak 16 kilometer dari pusat bandar ini akan diubahsuai untuk menempatkan T' Hotel bertaraf tiga bintang dengan kapasiti 99 buah bilik.

"Dengan kadar RM90 sehingga RM220 sehari, hotel ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penginapan bagi menjana sektor pelancongan di Terengganu serta mewujudkan lebih 80 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Manakala sebahagian lagi KUT, akan menempatkan ruang pameran, pusat batik, pusat reka bentuk, pusat kraftangan, pusat kajian produk serta konsep kedai francais dan kedai khusus untuk mengkomersialkan produk tempatan," katanya.

Katanya, kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju," katanya