Halaman

22 March 2011

Kesal dengan tindakan pengusaha chalet

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan Terengganu kesal dengan tindakan segelintir pengusaha chalet terutama di pulau-pulau di negeri ini yang bersikap lepas tangan dalam menangani pelbagai isu terutama berkaitan alam sekitar dan kebersihan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata mereka perlu bertanggungjawab membersihkan kembali sampah sarap atau sisa makanan apabila selesai menganjurkan sebarang aktiviti dan bukannya pihak lain yang mengambil cakna perkara itu.

“Sebagai contoh, terdapat pengusaha chalet di negeri ini yang ingin menjadikan makanan laut sebagai hidangan kepada tetamu, tetapi membiarkan sisa makanan seperti kepala dan organ dalaman ikan bertaburan di tepi pantai selepas menyiangnya.

“Sikap seperti itu bukan saja boleh mencemar pulau malah secara tidak langsung akan meninggalkan kesan buruk terhadap pemikiran pelancongan yang bermungkinan tidak akan kembali di lokasi sama,” katanya.

Pada masa sama semua pihak termasuk kerajaan negeri, pengusaha hotel, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami tempiasnya akibat kekurangan pelancong.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Forum Pelancongan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (22 Mac).

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Ghani, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Supian Wan Ishak dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 300 peserta wakil pelbagai agensi berkaitan pelancongan hadir bagi membincangkan isu, cabaran dan harapan, selain mendengar pembentangan kertas kerja bertajuk projek dan infrastruktur pelancongan.

Haji Wan Abdul Hakim turut memberitahu, sektor pelancongan cukup berbeza jika dibandingkan bidang lain kerana memerlukan gandingan, peranan dan tanggungjawab semua pihak sekiranya ingin memperoleh keuntungan dalam tempoh dan jangka masa panjang.