Halaman

08 March 2011

Kehadiran TSG Beri Tentangan Siri Jelajah Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman


Pasukan TSG bakal menjadi tumpuan dan memberi tentangan sengit dalam siri jelajah berbasikal tertua negara,Jelajah Malaysia yang menbuka tirainya pada hari ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Pasukan yang mewakili benua Malaysia yang dibentuk Kerajaan Terengganu, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) menjadi antara pasukan yang bakal menjadi tumpuan dan memberi tentangan sengit dalam siri jelajah berbasikal tertua negara , Jelajah Malaysia (JM) yang membuka tirainya pada hari ini (8 Mac).

Siri jelajah yang sudah memasuki usia 47 tahun itu disertai 20 pasukan tahun lalu, namun kali ini penyertaan meningkat kepada 30 pasukan yang menyaksikan persaingan bertambah hebat dengan setiap 180 pelumba akan saling mencabar bagi memburu kejuaraan.
Ketua pasukan TSG, Anuar Manan berkata, pasukannya akan melakukan yang terbaik dan melihat persaingan amat sengit antara semua pasukan.

Dia yang juga pemenang Jersi Hijau Le Tour de Langkawi 2010 itu turut tidak menolak kehebatan pasukan lain, selain cabaran daripada juara tahun lalu, David Mc cann daripada Pasukan Giant Kenda yang kembali memberi tentangan dalam JM tahun ini.

Jurulatih TSG Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata dalam kejohanan itu TSG akan menghantar enam pelumba untuk bersaing dalam mengharungi laluan sejauh 1,111 kilometer (km).

Mereka ialah Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan dan Motoi Nara.

"Pelumba-pelumba ini pernah mewakili TSG pada kejohanan Tour De Mumbai, India bulan lalu," katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata dengan kebolehan yang ada pada Anuar Manan serta pelumba-pelumba lain, TSG mensasarkan untuk mempertahankan jersi spring yang dimenangi Anuar Manan pada kejohanan tahun lalu.

Namun katanya TSG sedar ia bukan satu misi yang mudah kerana perlumbaan itu akan turut disertai oleh pelumba-pelumba handalan dari luar negara.

Syed Mohd Hussaini berkata untuk menghadapi kejohanan itu, pelumba-pelumba TSG menjalani latihan rapi, termasuk menyertai Grand Prix Rantau Panjang dua minggu lepas.

Hari ini, setiap pelumba bakal melalui cabaran pertama dari Kota Iskandar bermula jam 10.30 pagi ke Bandar Penawar Johor sejauh 162.5 kilometer (km).

Perlumbaan enam peringkat yang berstatus 2.2 akan tamat pada 13 Mac ini bakal bersambung dari Bandar Penawar ke Kluang yang mempertaruhkan laluan sejauh 204.4 km.

Kepada pasukan TSG, selamat berjaya!