Halaman

28 March 2011

JPJ Terengganu keluar 535 notis cermin gelap

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan 535 notis bagi kesalahan cermin gelap kenderaan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pegawai Khidmat Pelanggan, JPJ Terengganu, Puan Rohaya Muda berkata, operasi khas cermin gelap telah diadakan secara besar-besaran membabitkan 60 anggota penguatkuasa dan pihak JPJ sejak awal Januari lalu.

“Beberapa lokasi operasi telah dijalankan termasuklah di Jalan Sultan Mahmud (hadapan mahkamah) serta jalan-jalan utama dalam Operasi Tahun Baru Cina,” katanya kepada Teganukita.

Mengikut statistik katanya, sebanyak 375 notis kesalahan berkenaan telah dikeluarkan sepanjang Januari, diikuti 45 notis pada Februari dan 115 lagi pada bulan Mac.

Menurutnya, kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 5 (Larangan Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 dan dikeluarkan Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu kenderaan yang disabitkan dengan kesalahan tberkenaan diberi tempoh 10 hari untuk hadir ke mana-mana JPJ untuk diambil tindakan membuka cermin gelap tersebut,” katanya.

Sehubungan itu katanya, JPJ akan terus mengadakan penguatkuasaan cermin gelap secara berterusan dari semasa ke semasa untuk menyedarkan pemilik kenderaan supaya tidak mengambil mudah perkara yang boleh disabitkan dengan kesalahan.