Halaman

23 March 2011

Imbasan 3 tahun MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Hari ini, 23 Mac 2011 genaplah tiga tahun Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pemerintahan Negeri Terengganu berlandaskan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”. - Foto: Zulkipli Putra.

Hari ini tanggal 23 Mac 2011, maka genaplah tiga tahun Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pemerintahan Negeri Terengganu yang berlandaskan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Seperti yang selalu disebut oleh beliau dalam ucapannya, Menteri Besar menjelaskan bahawa beliau tidak pernah bermimpi untuk menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu.

Malah, semua orang tahu Dato’ Ahmad terpaksa meniti ranjau dan duri serta jalan penuh liku untuk berada pada kedudukan sekarang ini.

Sesungguhnya takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menolak, justeru beliau diberi kepercayaan untuk memikul amanah sebagai Menteri Besar Terengganu, selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-12.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, memperkenalkan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, khusus untuk rakyat Terengganu kerana bagi beliau dalam apa jua keadaan, rakyat menjadi agenda utama.

Bermula dari situ, Menteri Besar dalam setiap ucapan beliau sentiasa mengingatkan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau memperkenalkan konsep 5M iaitu menjiwai, menghalusi, memahami, melaksana dan memantau, agar ia dihayati para pegawai dan kakitangan kerajaan.

Seawal pentadbirannya, Dato’ Ahmad yang berasal dari keluarga miskin, mengumumkan peruntukan yang besar bagi menggantikan atap rumah penduduk kampung yang bocor kerana masalah itu sering dikaitkan dengan kesusahan rakyat.

Beliau memansuhkan bayaran meter air bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah dan memperkenalkan program ladang rakyat yang melibatkan tanaman kelapa sawit secara besar-besaran bagi menampung pendapatan keluarga yang dikategorikan miskin tegar.

Mereka yang mempunyai kawasan lapang di belakang rumah pula diberikan benih pokok kelapa sawit secara percuma untuk ditanam sebagai sumber pendapatan sampingan.

Dato’ Ahmad memperkenalkan skim bantuan RM1,000 seorang bagi setiap pelajar tingkatan enam di Terengganu. Selama ini lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masuk ke tingkatan enam diabaikan kerana bantuan hanya tertumpu kepada mereka yang memasuki institusi pengajian tinggi.

Hasilnya begitu terserlah apabila Terengganu turut meraih kejayaan dengan mencatatkan keputusan terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) buat tahun ketiga berturut-turut mulai 2008.

Pelbagai bantuan untuk bidang pelajaran juga membolehkan Terengganu muncul sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut serta muncul negeri terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Sebagai penghargaan kepada pendidik yang bertungkus-lumus mendidik pelajar hingga lulus dengan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan utama, kerajaan negeri menghadiahkan ‘pen drive’ kepada guru-guru.

Apa yang lebih membanggakan golongan pendidik, beliau menyampaikan sendiri buah tangan tersebut kepada setiap guru dalam program yang diatur seluruh negeri.

Dato’ Seri Ahmad menjadi wira rakyat apabila beliau memperjuangkan agar royalti minyak dipulangkan semula kepada negeri Terengganu dan permintaan itu ditunai Kerajaan Pusat.

Beliau juga menyediakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan jelapang padi baru di beberapa kawasan di negeri ini serta memperkenalkan tanaman jagung hibrid bagi menambah pendapatan rakyat.

Menteri Besar memberi keutamaan kepada usaha menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk tempatan, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Kerajaan negeri mensasarkan untuk membina 10,000 unit rumah pelbagai jenis dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mulai tahun lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi menubuhkan Tabung Penyakit Kronik di mana rakyat yang menghidap penyakit kronik diberi wang biaya untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Sehingga ini ramai pesakit, terutama daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah menikmati kemudahan menerusi tabung tersebut.

Di bidang pendidikan pula, Dato’ Seri Ahmad memperkenalkan e-Book bagi meningkatkan mutu pendidikan di Terengganu, sekaligus menjadikan masyarakat negeri ini ‘celik komputer’.

Program tersebut mendapat pujian di kalangan pendidik, cendikiawan dan pemimpin kerajaan di dalam dan luar negara.

Di peringkat pra-sekolah pula, program Terengganu Brilliant Kids (TBKids) diperkenalkan bagi menarik minat kanak-kanak belajar menggunakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Di segi pembangunan bandar pula, usaha-usaha sedang dilakukan bagi menyusun semula kawasan bandar Kuala Terengganu di mana Projek Pangsapuri Ladang Gemilang sudah pun siap dan diaigih kepada penduduk tempatan.

Bandar Kuala Terengganu bakal berubah wajah dengan pelaksanakan projek pembangunan Ladang Tok Pelam – Tanjung Kapur dan ‘water front’ di Kampung Cina.

Rakyat Terengganu kini sudah menikmati penerbangan terus ke Tanah Suci di mana bakal jemaah haji menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, terus ke Jeddah atau Madinah.

Terbaru, orang ramai juga berpeluang menunaikan umrah menerusi penerbangan terus dari LTSM ke Jeddah.

Menjelang Aidilfitri pula, dana khas Hari Raya dikeluarkan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah membeli keperluan bagi menyambut hari lebaran.

Masyarakat Tionghua yang layak turut berpeluang menikmati bantuan khas RM300 setiap orang, setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Kerajaan negeri memutuskan untuk membuka semula Lombong Bukit Besi jika kajian mengenai jumlah kandungan bijih yang terdapat di kawasan itu mampu menghasilkan pendapatan tinggi.

Melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), T’Shoppe dibuka bagi memasarkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan dengan sasaran 90 buah rangkaian kedai T’Shoppe akan beroperasi di seluruh negara sehingga 2013.

Di bidang pelancongan, usaha-usaha dilakukan bagi meningkatkan sumbangan industri berkenaan agar Terengganu tidak bergantung kepada bidang petroleum semata-mata.
Tasik Kenyir dimajukan dengan projek Kenyir Island Hopping (KIH) yang meliputi pembangunan 10 buah pulau di utara Pengkalan Gawi.

Antara taman yang dibina termasuk Taman Rama-Rama, Taman Burung, Taman Orkid, Taman Herba dan Taman Tropika.

Santuari Kelah turut diwujudkan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu bagi mempelbagaikan aktiviti mereka yang melancong ke situ.

Artifak purba berupa rangka manusia berusia 16,000 tahun yang ditemui di Gua Bewah akan dikekalkan di situ, sebagai daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir.

Pembinaan Taman Rekreasi dan Zoo di Bukit Takal, Kemaman pula kini menjadi destinasi pilihan baru pelancong ke Terengganu.

Manakala aktiviti ‘river cruise’ di Taman Tamadun Islam, menjadi satu tarikan orang ramai ke taman tema tersebut, sekaligus membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke Terengganu.

Dengan kesungguhan Menteri Besar membela nasib rakyat dan kesederhanaan beliau sejak dahulu hingga sekarang, sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional semakin meningkat.

Bagi membalas sokongan rakyat itu, kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri Ahmad akan terus merancang pelbagai program bagi kesejahteraan dan kepetingan rakyat Terengganu.

Dalam setiap kali ucapannya, Menteri Besar berkata, pihaknya tidak mengharapkan apa-apa balasan dari rakyat, cuma satu saja permintaan iaitu “UNDILAH BN BILA TIBA PILIHAN RAYA”.