Halaman

23 March 2011

ECER wujud kampung baru

Oleh; Esah Abdullah

Daripada hutan tebal, kawasan Pancur Bederu, Setiu akan bertukar menjadi sebuah perkampung baru yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

“Kawasan seluas 280 hektar berkenaan akan dibangunkan di bawah Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) yang kini sedang dalam peringkat pembersihan kawasan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris..

Katanya, projek akan dibangunkan secara berperingkat itu akan menempatkan 150 keluarga golongan miskin di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan menyediakan 150 unit rumah kediaman.

Menurutnya, pelbagai kemudahan prasarana turut disediakan seperti masjid, premis perkedaian, padang permainan dan sebagainya untuk melengkapkannya sebagai sebuah perkampungan baru.

“Peserta yang terpilih tinggal di sini akan memberi tumpuan kepada Lembah Kaprima yang dibangunkan di kawasan berkenaan sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya.

Katanya, pelaksanaan projek ini diantara usaha kerajaan untuk memberi kehidupan yang lebih sempurna kepada golongan miskin dan berharap mereka dapat perbaiki kehidupan dan terkeluar dari kepompong kemiskinan.