Halaman

02 March 2011

DUN Bukit Payong anjur kejohanan bola sepak

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Ketua Pemuda Negeri, Saiful Bahri Dato' Baharuddin menyerahkan jersi dan bola kepada pasukan yang mengambil bahagian.

Sebanyak 14 pasukan dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menyertai pertandingan bolasepak tertutup bagi merebut Piala Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong 2011.

Majlis perasmian pertandingan itu diadakan di perkarangan kediaman Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, malam tadi dan dihadiri lebih 300 belia dari sekitar kawasan itu.

Pada majlis itu juga, Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang merangkap Ketua Pemuda Negeri, Saiful Bahri Dato Baharuddin menyerahkan jersi dan bola kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Kejohanan tersebut yang bertujuan menarik golongan muda bersukan dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial seperti merempit dan menyalahgunakan dadah, akan diadakan secara liga.

Pertandingan tersebut akan diadakan pada setiap hujung minggu dan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dijangka diadakan akhir tahun ini.



Dalam ucapannya, Encik Zaidi menegaskan golongan belia perlu mengamalkan konsep bersyukur dan sentiasa berterima kasih atas setiap pemberian dan kemudahan yang telah disediakan kerajaan negeri.

“Sejak dahulu hingga sekarang banyak program dan bantuan yang telah dihulurkan oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan muda kerana kerajaan sedar mereka adalah aset negara,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan, malah peruntukan yang besar disediakan melalui bajet pada setiap tahun bagi memberi peluang mereka meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.

“Justeru itu, golongan muda perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk memajukan diri mereka dan membantu keluarga, terutama daripada golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.