Halaman

13 February 2011

Guru Di Kemaman Jalani Kursus Intensif

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Amirullah Othman


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada pelajar Tahun Lima sekolah dalam DUN Kijal.

Semua guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah seluruh daerah Kemaman diarah menghadiri kursus insentif khas bagi meningkatkan mutu pengajaran mereka.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pencapaian mata pelajaran tersebut bagi murid-murid di daerah itu yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR tahun lalu, didapati daerah Kemaman menduduki tempat tercorot berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.

“Keputusan UPSR bagi daerah Kemaman merosot disebabkan mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan dan Kefahaman,” katanya kepada wartawan Unit Komunikasi ketika ditemui selepas mengagihkan e-Book kepada 780 murid Tahun Lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman, hari ini.

Hadir sama di majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, YB Ir Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Pelajaran, Encik Razali Daud.



Dato’ Seri Ahmad berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pelajaran dan meminta tindakan segera dilakukan bagi meningkatkan keputusan peperiksaan pelajar daerah itu dalam UPSR pada tahun ini.

“JPN meminta semua guru di daerah ini menjalani kursus intensif di mana kursus fasa pertama sudah dilakukan baru-baru ini dan ia akan disususli dengan beberapa fasa lagi selepas ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi mengekalkan kedudukan negeri Terengganu sebagai peneraju dalam keputusan UPSR di mana sebelum ini ia menjadi juara selama 10 tahun berturut-turut.

“Kita mahu Terengganu kekal sebagai juara UPSR pada tahun ini dan pada masa yang sama keputusan untuk pelajar daerah Kemaman turut meningkat dan tidak menjadi daerah tercorot,” tambahnya.

TEGANUKITA