Halaman

10 February 2011

PPAT anjur 60 program setahun

Oleh: Suriati Ali

Usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menganjurkan 60 program ilmu dalam tempoh setahun bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada malah memberi manfaat berguna kepada pelajar dan masyarakat.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata setiap sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini.

Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu.

“Apa yang membanggakan, pameran robotik anjuran bersama Kolej Tati pada 29 Januari lalu, mendapat sambutan lebih 4,000 pengunjung walaupun hanya sehari dianjurkan. Oleh itu, PPAT bersetuju mengadakan program seumpama itu di tahun seterusnya.

“Progam terbaru, belajar sedikit-sedikit, dapat banyak antara program bersiri, diadakan di setiap daerah dan mendapat sambutan cukup mengalakkan daripada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan umum,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, mereka menunjukkan rasa minat mungkin disebabkan tertarik dengan kaedah pembelajaran yang dikelola fasilitator bertauliah iaitu cikgu Mohd Razali Kamaruddin dari Sekolah Menengah Pertanian Chenor, Pahang.

TEGANUKITA