Halaman

09 February 2011

Pelajar teruja teroka ilmu

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar bersama seorang murid Sekolah Kebangsaan Paya Bunga perintis kepada Kelas Maya di Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Kelas maya yang kini diperkasakan tiga sekolah rendah di negeri ini nyata menunjukkan perkembangan membanggakan kerana murid yang mengikuti pelajaran melalui kaedah itu cukup teruja dan seronok meneroka ilmu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman dipilih sebagai sekolah perintis sebelumprojek itu diperluaskan ke beberapa sekolah lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kelas maya yang menggunakan kaedah belajar secara interaktif dan peperiksaan talian (online) bukan saja menarik minat pelajar untuk menimba ilmu malah mampu mendisplinkan mereka ketika belajar dan lebih bersemangat untuk ke sekolah.

Katanya, pendekatan ini secara tidak langsung menolak andaian dan tomahan segelintir pihak yang menyatakan penggunaan e-Book tiada faedah dan manfaat.

“Kerajaan negeri berusaha mewujudkan kelas maya sebagai nilai tambah kepada e-Book di mana sebelum ini agak terhad penggunaannya iaitu guru perlu melihat hasil kerja setiap pelajar dan tidak boleh menjalankan peperiksaan secara talian.



“Apabila wujudnya kelas maya ini, hasil kerja termasuk jawapan dan markah boleh dilihat pada skrin sesentuh di hadapan kelas selain pelajar tidak boleh membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan perkembangan kelas maya di SK Paya Bunga, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, Ketua Pegawai Eksekutif, Top IT Sdn Bhd, Encik Mohd Isa Nik dan beberapa pegawai kanan kerajaan.



Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kerajaaan memperuntukkan antara RM25,000 hingga RM30,000 bagi setiap kelas maya dan bakal membelanjakan jutaan ringgit lagi untuk memperluaskannya di beberapa buah sekolah seterusnya.

“Berdasarkan pemantauan, sikap pelajar yang lebih bersemangat meneroka ilmu dan berlumba-lumba ingin menjawab soalan ketika menggunakan kaedah ini, nyata menjadi pembakar semangat guru dan pihak JPNT untuk memperluaskan program seumpama ini,” katanya.

TEGANUKITA