Halaman

09 February 2011

Manfaatkan Bantuan Kerajaan-Dato' Rosol

Oleh: Aida Abd Rahman


Ada apa yang diperkatakan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said kepada Dato' Rosol Wahid sehingga mereka ketawa besar ketika majlis penyerahan e-Book di SM Bukit Diman, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Dato’ Rosol Wahid mengingatkan ibu bapa dan pelajar lebih menghargai sumbangan yang disampaikan kerajaan negeri dan menggunakan bantuan itu dengan sebaik mungkin demi meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata demikian ketika merujuk pengagihan 602 unit e-Book kepada pelajar Tahun Lima di 16 sekolah rendah seluruh Ajil, di Dewan Sekolah Menengah Bukit Diman, Hulu Terengganu, kelmarin (7 Februari).

Dato’ Rosol turut meminta semua ibu bapa yang hadir ke majlis itu supaya menghargai pendekatan yang dilakukan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa mencari insiatif bagi mengubah taraf hidup rakyat ke arah lebih baik termasuk pemberian e-Book secara percuma sejak dua tahun lalu.

“Terima kasihlah kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana ini kali kedua beliau hadir ke Ajil untuk mengagihkan e-Book kepada anak-anak kita semua.

“ Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM6 00 ribu untuk menyediakan e-Book untuk pelajar Tahun Lima tahun ini bagi Dun Ajil dan ini semua tidak perlu dibayar tetapi percuma. Oleh itu, gunakanlah apa yang diberikan secara percuma ini dengan sebaik mungkin demi faedah bersama,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai sikap segelintir penduduk khususnya di kawasan Ajil yang tidak tahu menghargai bantuan dan subsidi yang diberikan kerajaan ketika 1990-an dulu.

Menurutnya, ada segelintir daripada mereka ketika itu menerima subsidi tandas dan tidak mengggunakan bantuan itu dengan betul apabila bertindak membiarkannya di merata tempat sehingga berkulat.

“Apabila kerajaan buat pemeriksaan ke rumah penerima tandas berkenaan dan mengatakan untuk menarik balik subsdi itu kerana mereka tidak mahu (tandas), barulah mereka cepat-cepat menggunakan apa yang diberikan oleh kerajaan secara percuma itu.

“Sedangkan bantuan yang disediakan kerajaan itu sebagai langkah mengubah cara hidup mereka ke arah lebih positif dan sihat termasuk tidak lagi membuang air besar di merata-rata tempat. Bagaimanapun kini kehidupan mereka sudah mula berubah, ” katanya.

Dato’ Rosol berkata, jika dihitung bantuan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat memang terlalu banyak kerana kerajaan menyediakan keperluan yang sepatutnya demi kepentingan dan kebajikan rakyat sejak dari dalam kandungan sehinggalah meninggal dunia.

Katanya, bukan hanya e-Book, buku teks secara percuma, pakaian sekolah percuma, yuran peperiksaan percuma, malah kerajaan turut menyediakan rumah percuma menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), selain peruntukan membaiki rumah PPRT serta bantuan lain dari masa ke semasa.

Oleh yang demikian, katanya sebagai tanda membalas jasa dan sokongan terhadap kerajaan, rakyat hanya perlu memilih kerajaan Barisan Nasional yang sudah banyak melakukan pembaharuan dan pembangunan demi kepentingan rakyat itu pada setiap kali pilihan raya.