Halaman

13 February 2011

Anak Terengganu Sandaran Pingat ACC 2011

Oleh: Aida Abd Rahman


Mohd Rizal Tisin

Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011, Korat sudah menghasilkan khabar gembira dengan kejayaan pelumba seperti Mohd. Rizal Tisin yang mengesahkan pingat emas pertama buat kem Malaysia apabila mengungguli acara kegemarannya dengan masa 1:04.953 saat, mengatasi kepantasan jaguh China, Zhang Miao (1:05.949s) manakala tempat ketiga milik peserta Korea Selatan, Han Jaeho (1:07.644s).

Apa yang menarik, Malaysia menyandarkan ramai barisan pelumba di kalangan anak Terengganu termasuk, Fatehah Mustafa, atlet kelahiran Hulu Terengganu yang berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa dengan masa 37.016.

Manakala kemenangan terawal ACC 2011 direkodkan Mohd. Adiq Hussainie Othman, anak Kuala Terengganu yang melakar sejarah apabila muncul pelumba pertama Malaysia yang memenangi pingat gangsa acara perlumbaan mata pada peringkat Asia sejak 31 tahun.

Jaguh trek negara kelahiran Dungun, Azizulhasni Awang pula mengesahkan laluan ke separuh akhir bagi acara pecut lelaki ACC 2011 apabila berjaya engatasi pelumba China, Tang Qi dalam saingan suku akhir, semalam (12 Februari).

Namun, Azizulhasni berdepan laluan sukar untuk melangkah ke akhir apabila berdepan jaguh pecut China, Zhang Miao pada peringkat separuh akhir, hari ini.

Zhang Miao layak ke separuh akhir selepas mengatasi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Edrus Yunos dalam satu aksi suku akhir, semalam.

Walaupun berdepan Zhang Miao pada separuh akhir hari ini, ketua jurulatih negara, John Beasley yakin Azizulhasni mampu mengalahkan jaguh China itu.

Ini kerana, katanya, Azizulhasni berada pada prestasi terbaik dengan mencatat kepantasan yang konsisten sejak pusingan kelayakan lagi.

"Saya yakin Azizulhasni boleh mengalahkan Zhang Miao esok. Prestasi Azizulhasni lebih baik berbanding mana-mana pencabarnya di sini.

"Trek di sini tiada masalah angin yang memberikan kelebihan kepada Azizulhasni untuk melakukan pecutan terbaiknya dan saya yakin dia mampu layak ke aksi akhir acara pecut di sini," katanya.

Beasley turut melaungkan keyakinan Azizulhasni mampu memenangi pingat emas acara tersebut, tanpa mengira walau siapa pun pencabarnya jika dia layak ke babak akhir.

"Jika berjaya ke final, tiada kira siapa pun lawannya sama ada Kitatsuru Tsubasa atau Zhang Lei sekalipun, saya yakin Azizulhasni mampu mengalahkannya," ujarnya.

Sementara Fatehah menjelaskan, dia gembira dengan kejayaan memenangi pingat pertama pada ACC kali ini. Walaupun sekadar gangsa, ia tetap memberi kepuasan kepadanya setelah pulang tanpa sebarang pingat pada ACC 2010 di Sharjah, UAE.

‘‘Saya amat berpuas hati dengan kejayaan tempat ketiga dalam acara 500m ujian masa ini kerana sebenarnya saya tidak menaruh harapan begitu tinggi untuk memenangi apa-apa pingat dalam acara ini.

‘‘Pingat ini sekurang-kurangnya mengubat kehampaan kerana saya sudah lama tidak mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan antarabangsa,” katanya.

Acara tersebut diungguli pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze (35.414s) dan perak milik Shuang Guo dari China dengan catatan masa 36.016s.