Halaman

27 January 2011

Usah Jadi ‘gunting dalam lipatan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kakitangan awam di seluruh Terengganu dingatkan supaya tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dengan cara membocorkan rahsia kerajaan kepada parti pembangkang dan pihak tertentu yang berniat jahat menjatuhkan kerajaan negeri.


Tindakan segelintir kakitangan awam yang mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada pihak tidak bertanggungjawab, amat tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Am yang melarang mereka berbuat demikian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sepatutnya kakitangan awam menghargai dan taat setia kepada kerajaan semasa yang mengurus tadbir negeri ini.

“Jika ada kakitangan yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan semasa dan tidak boleh bekerja untuk kerajaan, mereka perlu meletak jawatan,” katanya di sidang media selepas program Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar Terengganu d i Wisma Darul Iman, hari ini (27 Januari 2011).

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlah Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO), ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dan kakitangan awam.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan seumpama itu bagi memastikan kerajaan yang ada sekarang ini tidak tergugat.

Beliau turut berharap pembocoran maklumat suilt tidak lagi berlaku, sebaliknya kakitangan awam perlu menumpukan tugas masing-masing dengan bekerja dengen lebih gigih bagi membantu melaksanakan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

TEGANUKITA