Halaman

03 January 2011

TTI Tawar Hadiah Ke China

Oleh: Mohamad Shahrir Abdul Hamid & Raja Faisal Raja Haron

Taman Tamadun Islam (TTI) menawarkan hadiah utama melancong ke Shenzhen atau Masjid Xian atau ke Guangzhou, China selama empat hari tiga malam termasuk tiket penerbangan pergi balik, makan minum, penginapan serta wang saku sebanyak RM3,000 kepada pemenang peraduan mencipta slogan TTI.

Peraduan berkenaan terbuka kepada ahli TTI manakala bagi pemegang kad keahlian TTI platinum atau klasik dan pemegang kad pelajar klasik layak menyertainya secara automatik. Peserta haruslah mencipta slogan tidak melebihi enam patah perkataan dan pemenang ditentukan oleh para juri yang dilantik pihak penganjur.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran TTI, Norsabihah Fidri mengalu-alukankan penyertaan sebanyak yang mungkin daripada rakyat Terengganu.

“Peraduan ini hanya terbuka kepada rakyat Terengganu dan bertujuan menggalakkan pelancongan dalam negeri disamping menambahkan pengetahuan rakyat tentang tempat-tempat menarik yang ada dalam negeri Terengganu”, katanya ketika ditemui pada sidang media meraikan para pemenang Kuiz Santai TTI dengan kerjasama Radio Terengganu (Tfm) di dalam bot (Dining Cruise), .

Kuiz Santai TTI-Tfm yang telah berlangsung pada 1 Disember 2010 akan berakhir pada 31 Januari 2011. Sebanyak 300 soalan kuiz berkaitan TTI, Tfm dan pelancongan negeri Terengganu akan dikeudarakan melalui Tfm sepanjang tempoh tersebut. Para pendengar boleh mendapatkan lima soalan setiap hari menerusi segmen tertentu Tfm dan menjawab dengan betul untuk memenangi hadiah menarik daripada TTI.

Soalan kuiz santai terbahagi kepada kategori A iaitu soalan yang lebih mencabar dan kategori B bagi soalan yang lebih mudah yang bernilai RM 20,000 hadiah keseluruhan. Hadiah yang menanti para pemenang bagi kategori A ialah wang tunai RM 70 beserta pakej makan nasi dagang atas Dining Cruise bersama pengiring dan baucer daripada TTI. Manakala bagi kategori B hadiah berupa wang tunai bernilai RM 50 di samping menaiki bot (River Cruise) bersama pengiring dan baucer menarik daripada pihak penganjur.

“Setakat ini seramai 55 pemenang beserta 45 pengiring telah menebus kupon hadiah mereka dan seramai 155 pemenang telah menjawab dengan betul soalan kuiz sehingga 1 Januari 2011”, jelas Norsabihah lagi.

Pemenang harian yang telah menjawab dengan tepat lima soalan setiap hari boleh menuntut kupon hadiah pada setiap hari di Pusat Khidmat Pelanggan TTI dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

TEGANUKITA