Halaman

19 January 2011

Produk Akuakultur Skala Besar Di Tasik Kenyir

Oleh: Kamarudin bin Mat Akib

Pengusaha tempatan digesa membangun dan mengeluarkan produk akuakultur berskala besar di Tasik Kenyir untuk pasaran Amerika Syarikat setelah negara itu menghadapi masalah bekalan dari negara China dan Vietnam.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Dato’ Ahamad Sabki Mahmood berkata, Tasik Kenyir mampu menghasilkan sumber ikan air tawar bermutu dan dapat memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, tasik itu yang luas dan mempunyai air bersih, merupakan salah satu kawasan ternakan ikan air tawar bermutu tinggi terutama talapia.

"Sebenarnya wakil dari Amerika Syarikat telah pergi melawat Tasik Kenyir semasa menghadiri persidangan antarabangsa mengenai akuakultur di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Mereka kata tasik itu merupakan salah satu kawasan ternak ikan talapia yang mampu memenuhi kehendak pasaran Amarika Syarikat.

"Sekarang mereka minta pengusaha kita mengeluarkan seberapa banyak ikan talapia dari tasik Kenyir untuk dieksport ke sana," katanya selepas majlis perasmian Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, kelmarin.

Ketika ini kerajaan Terengganu menyediakan kawasan seluas 2,800 hektar di Tasik Kenyir untuk pembangunan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar secara besar-besaran.

Kini beberapa syarikat tempatan telah mengadakan projek ternakan ikan dalam sangkar di tasik itu secara kecil-kecilan yang mampu menghasilkan ikan antara 40 tan metrik dan 60 tan metrik sebulan dan akan meningkat kepada 100 tan metrik pertengahan tahun ini.

Tasik itu telah dikunjungi pelabur dari China dan Taiwan baru-baru ini bagi mengadakan projek ternakan ikan secara besar-besaran untuk pasaran luar negara.

TEGANUKITA