Halaman

15 January 2011

PAS GANTI UMNO? SERIK DOH!!

Oleh: Penulis Khas

Beberapa sepanduk dan momokan Pas ganti Umno sedang dibuat di negeri ini, mungkin itu antara aktiviti biro perang saraf parti berkenaan di Terengganu.

Kita ucap tahniahlah kepada biro gerak saraf Pas Terengganu walaupun mereka tahu sebenarnya kata-kata itu sekadar hendak menyedapkan hati puak-puak mereka sahaja dan menakut-nakutkan orang Umno.

Bukan senang untuk menutup kesalahan dan kemungkaran semasa Pas berkuasa di Terengganu November 1999- Mac 2004.

52 bulan Pas berkuasa di Terengganu telah cukup menyebabkan rakyat menjadi serik, kecuali bagi orang dan penyokong Pas “totok” yang melihat Pas seperti agama dan pemimpin mereka teramat hebat.

Apatah lagi, pemimpin mereka sendiri meletakkan gelaran yang hebat kepada diri mereka sendiri, ‘Tuan Guru’ yang terpampang sebagai nama rasmi mereka. Adakah layak ulamak dan pemimpin Islam dengan sifat angkuh, sombong dan takabur menggelarkan diri mereka sebagai Tuan Guru?

Kini terpampang pula di kain rentang ; seolah-olah rakyat Teregganu semudah itu melupakan kerosakan di muka bumi Terengganu dilakukan Pas semasa berkuasa.

Tuan Guru mereka yang telah menyebabkan kawasan balak tergadai di Terengganu dalam tempoh 52 bulan kekuasaan Tuan Guru, gelaran ciptaan sendiri untuk membangkit sokongan para penyokong.

Kerajaan Negeri Terengganu sekarang terpaksa berdepan dengan saman RM1 billion angkara kemungkaran pemimpin Pas sewaktu mentadbir dan berkuasa di negeri Terengganu. Melulus dan menarik balik sesuka hati kawasan balak mega hanya kerana wang!

Masihkah kau ingat, kawasan-kawasan balak diberikan sewenangnya kepada kroni dan puak juak pemimpin Pas, termasuk apa yang disebut pemimpin JSR pun dapat balak?

Masihkah kau ingat, kawasan balak 10,000 ekar hutan dara di Hulu Dungun diluluskan oleh Tuan Guru yang berkuasa di Terengganu itu kepada syarikat kroninya yang dipimpin oleh mereka yang mengetuai akhbar rasmi parti mereka.

Masihkah kau ingat, anak Exco Kerajaan Pas Terengganu pun balon wang zakat? Kata hendak dipulangkan semula apabila terbongkar, tetapi sampai sekarang tidak dipulangkan.

Masihkah kau ingat, semasa Pas perintah Terengganu anak-anak Tadika Kemas dihalau dari balai raya, hingga ada yang berpindah di bangsal keropok, kedai kopi dan sebagainya.

Sekarang anak-anak yang pernah dihalau itu sudah pun meningkat remaja berada di sekolah menengah, berumur antara 16 - 17 tahun. Mereka pasti tidak lupa!

Masihkah kau ingat, semasa Pas perintah, diadakan pesta-pesta termasuk Pesta Thai, yang mengandungi tukang-tukang urut perempuan dari negara itu dibenarkan mengurut pelanggan lelaki di Pusat Dagangan Terengganu?

Banyak lagilah kalau hendak disenaraikan semula kemungkaran kemungkaran di zaman Pas memerintah Terengganu….Serih Doh!!
Ini datang pula sekali lagi dengan momokan hendak ganti Umno. Tidak malu!!

TEGANUKITA