Halaman

27 January 2011

Kecekapan Perkhidmatan Agensi Kerajaan Ditingkatkan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah

Kerajaan Terengganu akan memperluaskan usaha memendekkan tempoh pemprosesan pelbagai urusan di agensi-agensi kerajaan, bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan lebih cekap.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pendaftaran pindah milik dalam masa satu hari yang telah diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Produk Satu Malaysia, perlu diperluaskan kepada produk-produk lain di agensi kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan melakukan proses ini secara berperingkat-peringkat di jabatan lain agar rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang lebih efisien dan menjimatkan tempoh menungggu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar di Wisma Darul Iman, hari ini (27 Januari 2011).

Sebelum ini pentadbir tanah negeri berjaya mempamerkan kecemerlangan dalam urusan tanah di mana Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menggunakan sistem secara ‘online’ bagi mempercepatkan urusan tanah.

Satu lagi penambahbaikan yang dilakukan pentadbiran tanah di negeri Terengganu ialah Sistem Pendaftaran Satu Hari di mana semua pejabat tanah dan PTG memulakan usaha mendaftarkan urusan tanah dalam masa sehari mulai Oktober 2010.

Sebelum ini, pendaftaran urusan tanah seperti pindahmilik, gadaian, kaveat, tarekah dan lain-lain didaftarkan dalam tenpoh lima hingga lapan hari.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar mengucapkan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu kerana telah melaksanakan segala usaha bagi mengurangkan kadar jenayah seperti yang digariskan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 4,037 kes jenayah telah dilaporkan berbanding 5,319 kes pada tahun sebelumnya. Penurunan sebanyak 1,282 kes ini bersamaan dengan 24.10 peratus dan mencapai kadar yang ditetapkan oleh NKRA iaitu 20 peratus,” tambahnya.

TEGANUKITA