Halaman

31 January 2011

Jangan jadi ‘gunting dalam lipatan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jangan jadi ‘gunting dalam lipatan’. Ingatan tersebut pendek saja dan mudah diingati oleh sesiapa saja yang mendengarnya.

Pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Ahmad Said, memberi peringatan itu kepada penjawat awam yang bekerja di agensi-agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri serta Persekutuan, sewaktu menyampaikan amanat pada majlis Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar di Wisma Darul Iman, pada 27 Januari, 2011.

Jelas sekali hasrat Menteri Besar mahu penjawat awam bersikap amanah dan tidak sesuka hati membocorkan rahsia kerajaan, khususnya kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sikap segelintir penjawat awam membocorkan fakta-fakta yang masih di peringkat rahsia rasmi kerajaan, amat merbahaya dan boleh menjejaskan imej kerajaan yang mentadbir negeri ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan perbuatan itu boleh menjatuhkan kerajaan, terutama jika fakta berkenaan yang belum tentu kesahihannya, digunakan parti pembangkang untuk ‘menikam’ kerajaan semasa.

Tindakan sesetengah penjawat awam mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada pihak tidak bertanggungjawab, amat tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Am yang wajib dipatuhi setiap kakitangan awam.

Menteri Besar menegaskan sepatutnya setiap penjawat awam menghargai pemimpin negeri ini dan taat setia kepada kerajaan semasa yang mengurus tadbir negeri.

Dalam hal ini, beliau mencabar penjawat awam yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan semasa dan tidak boleh bekerja untuk kerajaan supaya meletak jawatan mereka.
Bagi Dato’ Seri Ahmad tidak ada gunanya kerajaan terus membela mereka yang bersikap ‘musang berbulu ayam’ kerana langkah itu amat merbahaya.

Menteri Besar tidak mahu mereka yang ibarat ‘api dalam sekam’ akan menghancurkan kerajaan yang ada, sekaligus membuka ruang kepada parti pembangkang untuk mentadbir semula negeri ini.

Kakitangan awam dan rakyat Terengganu pastinya masih ingat pelbagai kezaliman yang dilakukan Pas semasa parti tersebut mentadbir negeri ini.

Pastinya kejadian kanak-kanak dihalau dari Tabika Kemas dan pintu pagar tabika dikebanyakan kawasan dikunci oleh Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), masih segar dalam ingatan penduduk di negeri ini.

Tentunya rakyat Terenganu tidak mahu Pas berkuasa semula di negeri ini dan melakukan pelbagai kezaliman kepada rakyat, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.

Bagi mengelakkan bencara itu berlaku, penjawat awam perlu patuh kepada nasihat Menteri Besar dan jangan cuba bermain dengan api. Mereka perlu memikirkan masa depan anak-anak kecil yang dahagakan ilmu kerana dengan ilmu seseorang itu boleh menjadi insan yang cemerlang.

Dengan ilmu juga seorang anak mampu mengubah nasib keluarga mereka yang hidup seharian ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Kerajaan negeri pimpinan Dato’ Ahmad kini ke arah menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu dan setiap orang, terutama sekali penjawat awam perlu menyokong usaha murni ini, demi masa depan generasi muda yang semakin bertambah di negeri ini.

Bagi membendung kegiatan ini daripada berulang, kerajaan negeri akan bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut sebagai pengajaran kepada yang lain.

Menteri Besar berharap pembocoran maklumat suilt tidak lagi berlaku, sebaliknya kakitangan awam perlu menumpukan tugas masing-masing dengan bekerja dengen lebih gigih bagi membantu melaksanakan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Penjawat awam sebaliknya diminta menghayati sepenuhnya roh ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ (MPPNT), mendampingi rakyat, menyelami masalah mereka, mencari jalan dan membuat keputusan bagi menyelesaikannya.

Jika semua pihak bekerjasama dan saling membantu, sudah pasti kerajaan negeri pimpinan Dato’ Ahmad dapat melaksanakan pelbagai program dengan lebih lancar dan terus menabur bakti kepada rakyat Terengganu...


TEGANUKITA