Halaman

17 January 2011

Dua Kilang Besi Di Terengganu Akan Beroperasi Tahun Ini

KEMAMAN, 15 Jan (Bernama) -- Dua buah kilang besi akan mula beroperasi di kawasan perindustrian Teluk Kalong di sini tahun ini, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad berkata sebuah daripadanya adalah kilang besi waja milik Syarikat Perwaja Steel Sdn Bhd yang akan beroperasi pertengahan tahun ini melibatkan kos antara RM400 dan RM600 juta, yang mampu menyediakan pekerjaan kepada antara 200 dan 300 anak tempatan.

Selain itu, katanya sebuah lagi kilang besi yang lebih besar milik syarikat dari negara China yang menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan melibatkan kos ratusan juta dan mampu menyediakan pekerjaan kepada 600 orang.

"Kita jangka apabila kedua-dua kilang itu beroperasi, ia mampu memberi peluang pekerjaan sehingga 1,000 anak tempatan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan Dana Raya Cina kepada masyarakat Tionghua pada hari Sabtu.

Beliau berkata kilang besi syarikat Perwaja itu merupakan pembesaran kilang yang sedia ada di kawasan berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 2,037 kaum Tionghua di daerah Kemaman menerima wang tunai RM300 seorang melibatkan peruntukan RM524,400.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan kira-kira RM4 juta untuk pembinaan sebuah dewan orang ramai dan gelanggang bola kerajang bagi kemudahan masyarakat Tionghua di daerah itu.

-- BERNAMA