Halaman

15 January 2011

469,500 TEMPAT UNTUK PELAJAR MELANJUTKAN PELAJARAN IPT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain daripada IPT Awam, pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Swasta, Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

“469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara,” kata Menteri itu..

“Bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di Kolej Komuniti”

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran," katanya berucap di Karnival Jom Masuk U, yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu semalam (14 Januari).

Katanya lagi, kementeriannya sedang merancang untuk mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA sebagai usaha untuk memperkasakan program diploma sebagai satu pilihan pelajaran lulusan SPM atau yang setaraf untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Beliau berkata kementeriannya juga akan menyediakan pembekal bagi melahirkan graduan berkemahiran teknikal dari universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapatkan pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.

TEGANUKITA