Halaman

21 December 2010

Terengganu Kini Miliki Pasukan Basikal Profesional, Termasuk Tiga Pelumba Import

KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Terenggganu kini memiliki pasukan basikal profesional "Terengganu Pro-Asia Cycling Team" (TCT) yang mempunyai sembilan pelumba tempatan dan tiga pelumba import.

Penubuhan TCT dilancarkan secara rasmi di sini Isnin oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Pelumba import terdiri daripada Shinichi Fukushima, Motoi Nara daripada Jepun dan Phuchong Udomsin dari Thailand bersama pelumba tempatan Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan, Mohamad Fais Sharifuddin Abd Kadir, Mohd Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Nur Amiraul Fakhruddin Mazuki.

Fukushima juga akan bertindak sebagai jurulatih dengan dibantu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan.

Ahmad berkata kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta bagi penubuhan pasukan tersebut.

"Saya yakin pasukan TCT yang dianggotai pelumba-pelumba berkaliber ini mampu memertabatkan nama Terengganu dalam sukan lumba basikal hingga ke peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata sasaran pertama TCT ialah untuk menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadual diadakan Januari tahun depan.

"Kita harap Anuar Manan akan dapat mempertahankan jersi hijau yang dimenanginya tahun ini pada tahun depan," katanya.

Ahmad berkata setakat ini pasukan TCT telah memilih Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Thailand sebagai gelanggang latihan yang bermula minggu depan hingga penghujung bulan ini di Thailand bagi menghadapi ujian pertama LTdL.


-- BERNAMA