Halaman

26 December 2010

TATiUC Jalin Kerjasama Akademik Rantau Asia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Bidang pengajaran dan penyelidikan Terengganu terus diperkasakan apabila Kolej Universiti Tati(TATiUC) berjaya menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kookmin, Korea Selatan dan Universiti MIE, Jepun.

Rektornya, Dr. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan lawatan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman ke universiti itu bagi memperkemaskan kerjasama pertukaran pelajar dan teknologi serta perundingan penyelidikan.

Hasil kerjasama itu, kemudahan pembelajaran secara percuma beserta elaun dan geran biasiswa sepanjang pengajian disediakan bagi pensyarah untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD.

“Universiti berkenaan juga telah bersetuju untuk menerima pelajar dari negeri ini mengikut kuota yang telah dicadangkan seramai 10 pelajar setahun dalam bidang Pengajian Nano Teknologi dan Automotif,” katanya

Selain itu, kerjasama dalam bidang automotif akan terus diperluaskan memandangkan universiti berkenaan turut menjalankan kerjasama dan mendapat dana penyelidikan dari pihak industri automotif terkenal Korea iaitu Hyundai dan Kia Motor.

Manakala lawatan ke Universiti MIE pula susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara TATiUC dengan universiti berkenaan.

Katanya, dua orang pensyarah TATIUC turut diberi peluang menjalankan penyelidikan di universiti tersebut selama dua bulan dan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dengan pembiayaan pelajaran ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti itu.

Melalui MoU itu juga katanya, TATIUC akan menghantar pensyarahnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan mengadakan pertukaran pelajar peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan.

“Jalinan kerjasama itu TATiUC dengan dua universiti berkenaan dapat membantu memperkasakan program-program akademik serta bidang penyelidikan yang bermutu tinggi di negara kita,” katanya.

TEGANUKITA